Monday 28 May 2012

Contoh Karangan SPM: Langkah-langkah mengatasi Masalah Vandalisme dalam kalangan Pelajar

Era digital ini, kepentingan melahirkan generasi muda yang cemerlang untuk masa hadapan negara semakin meningkat. Malangnya, gejala sosial dalam kalangan pelajar yang kian meruncing membimbangkan semua pihak. Menurut kajian Kementerian Pelajaran Malaysia, salah satu daripada lapan gejala salah laku pelajar yang semakin menjadi-jadi kini ialah masalah vandalisme. Aktiviti vandalisme, atau kegiatan merosakkan harta benda awam bukan sahaja merugikan pelbagai pihak, malah turut menjejaskan imej negara kita. Oleh itu, langkah-langkah untuk mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan pelajar perlu dilaksanakan dengan segera.

Pertama sekali, ibu bapa harus menjalankan peranan penting dalam menyifarkan masalah vandalisme. Mereka perlu memantau kegiatan anak-anak mereka supaya tidak terjerumus ke dalam kancah yang negatif. Bukan itu sahaja, malah pergaulan anak-anak juga patut diawasi agar tidak melakukan kesilapan dalam memilih rakan. Lebih-lebih lagi, ibu bapa harus menyemai ilmu keagamaan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi kerana sesungguhnya, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana ilmu keagamaan mampu menjadi benteng utama dalam menghalang generasi muda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir negatif seperti kegiatan vandalisme. Jika ibu bapa melaksanakan peranan mereka dengan sempurna, pasti masalah vandalisme dapat diatasi dengan mudah.

Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan tanggungjawab mereka demi menangani masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Sebagai seorang ahli masyarakat, kita harus peka terhadap situasi di sekeliling kita. Contohnya, jika terlihat perlakuan vandalisme, kita patut melaporkannya kepada pihak berkuasa. Pendek kata, kita tidak patut bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Maka, sekiranya masyarakat bersikap proaktif, pasti kegiatan vandalisme mampu dikurangkan.

Seterusnya, pihak berkuasa turut mempunyai peranan yang penting dalam mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Hakikatnya, undang-undang kini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana tidak mampu menunjukkan impak yang signifikan dalam menangani gejala negatif dalam kalangan pelajar. Menyedari realiti ini, pihak berkuasa perlulah menggubal undang-undang supaya hukuman yang lebih berat dijatuhkan terhadap si pelaku vandalisme. Pada masa yang sama, pihak polis harus menjalankan pemantauan yang lebih kerap dan ketat di kawasan yang berpotensi tinggi berlakunya kegiatan vandalisme. Jika langkah-langkah ini dilaksanakan dengan segera, sudah tentu masalah vandalisme boleh disifarkan dalam kalangan pelajar.

Di samping itu, pihak sekolah patut melaksanakan peraturan sekolah secara lebih tegas terhadap pelajar. Mereka harus mendenda pelajar yang melakukan vandalisme di dalam kawasan sekolah. Misalnya, pelajar yang terlibat dengan vandalisme perlu dirotan atau dikenakan hukuman gantung sekolah. Tindakan ini dapat menginsafkan pelajar yang terlibat dan mampu menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar yang lain. Pihak sekolah juga harus mengenepikan sikap pilih kasih semasa mengenakan tindakan terhadap pelajar yang terlibat dengan vandalisme. Langkah ini bukan sahaja mampu menangani masalah vandalisme, tetapi turut dapat mengurangkan masalah-masalah disiplin yang lain.


Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk menangani masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, semua pihak, terutamanya ibu bapa, masyarakat, pihak kerajaan dan pihak sekolah harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi masing-masing demi mengurangkan gejala yang semakin serius ini. Jika hasrat tersebut berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan penyelesaian masalah ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal di seantero dunia.



14 comments:

  1. Perenggan kedua baris ke lima akhir .. Perkataan Vandalisme salah ejaan .. Di eja vanadalisme ..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Alex Phang. Kesalahan tersebut telah dibetulkan.

      Delete
  2. ada tak petua belajar BM, karangan sy jika dibandingkan dgn yg ini jauh lebih daif .

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saudara/saudari boleh merujuk cara-cara membina pendahuluan, penutup serta menghurai isi-isi penting dalam blog ini untuk meningkatkan kualiti karangan.

      Delete
  3. ada tak karangan cara mengatasi vandalisme yang hanya dibuat oleh warga sekolah?

    ReplyDelete
  4. Thank you very much !! :))
    it help me a lot...:))))

    ReplyDelete
  5. berapa patah perkataan karangan ini....?

    ReplyDelete
    Replies
    1. lol....jgn pula awak menyalin tanpa memahami

      Delete
  6. ada x contoh karangan surat Kiriman rasmi ttg langkah ii bagi menangani gejala murid yg mlggar peraturan sekolah . boleh bantu siti tak?

    ReplyDelete
  7. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete