Tuesday 27 March 2012

Contoh Penutup yang Mantap

Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kemaslahatan (kepentingan)/ kelemahan/ kelebihan/ punca ______________. Oleh sebab itu, semua pihak, terutamanya ibu bapa, media massa, pihak sekolah dan pihak kerajaan harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi (peranan) masing-masing demi _______________________________. Jika hasrat ini berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju kerana ______________________.
Semoga dengan penyelesaian masalah ini/ pencapaian hasrat ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal di seantero dunia.

Monday 26 March 2012

Mencari Isi yang Mantap

Seorang lelaki yang kacak sudah pasti tidak sempurna tanpa budi bahasa dan tingkah laku yang baik. Analoginya, sesebuah karangan yang mempunyai pendahuluan yang baik harus disertai dengan isi-isi yang mantap dan menarik supaya karangan yang BAIK dapat menjadi karangan yang CEMERLANG.

Kebanyakan pelajar sering mengeluh, isi untuk sesebuah karangan sukar dicari kerana kurangnya pengetahuan tentang isu-isu semasa di dalam negara mahupun di luar negara. Namun begitu, tahukah anda, kita boleh membina karangan yang MANTAP dengan menggunakan satu TEKNIK yang sangat mudah?

Kebanyakan karangan fakta atau perbincangan dalam UPSR, PMR atau SPM hanya berskop isu-isu semasa. Terdapat beberapa langkah mudah yang boleh anda lakukan untuk memikirkan isi karangan fakta atau perbincangan.

Pertama, pecahkan isi sesebuah karangan kepada kata-kata kunci iaitu:
~ Pihak ibu bapa/ Keluarga
~ Pihak sekolah
~ Pihak kerajaan/ Badan-badan bukan kerajaan/ Pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan
~ Pihak media massa
~ Pihak masyarakat
~ Penduduk luar bandar
~ Negara

Kedua, kaitkan setiap kata kunci di atas dengan tajuk karangan anda. Tips mudah,jika tajuk karangan adalah berkenaan dengan:

~ Punca...=> Cuba nyatakan masalah setiap pihak di atas sehingga menyebabkan masalah tersebut wujud. 

Contoh:

Punca masalah ponteng dalam kalangan pelajar sekolah.
~Pihak ibu bapa => Kurang memberikan didikan moral
~Pihak sekolah => Pelaksanaan peraturan sekolah secara longgar
~Pihak kerajaan => Tidak mengkaji semula peraturan sekolah dari semasa ke semasa
~Pihak media massa => Kurangnya rancangan berbentuk pengajaran
~Pihak masyarakat => Tidak sanggup melaporkan kes ponteng sekolah kepada pihak sekolah

~ Kesan positif...=> Cuba nyatakan kesan-kesan baik terhadap setiap pihak di atas akibat isu dalam tajuk karangan anda 

Contoh:

Kesan-kesan positif sektor pelancongan.

~ Pihak kerajaan => Pendapatan meningkat
~ Pihak masyarakat => Membuka peluang pekerjaan
~ Penduduk di luar bandar => Menjana Industri Kecil dan Sederhana
~ Negara => Meningkatkan taraf ekonomi negara

Perkara yang sama boleh dilakukan untuk kata-kata kunci yang lain. Jika anda mahir menggunakan teknik ini, sudah tentu anda boleh mencari isi yang mantap dengan mudah untuk karangan anda!

Saturday 24 March 2012

Membina pendahuluan yang mantap

Tidak berguna jika inti karipap sangat sedap, tetapi kulitnya sudah hangus sehingga kuih itu tidak mahu dimakan. Begitu juga dengan sebuah karangan. Pendahuluan sesebuah karangan harus menarik perhatian pembaca supaya dia berminat untuk terus 'menatapnya' sehingga habis. Hal ini demikian kerana pendahuluan menjadi 'first impression' terhadap karangan anda.  Jika permulaan karangan berjaya mendapat perhatian si pembaca, anda sudah mempunyai penguasaan 25% terhadap pembinaan sebuah karangan yang mantap. Bagaimanakah kita hendak membina pendahuluan karangan yang benar-benar 'luar biasa'?

Pertama, cuba masukkan frasa-frasa yang menarik. Frasa menarik ini boleh terdiri daripada perumpamaan, pepatah dan yang paling saya suka, kenyataan seorang pemimpin.Contohnya: 

"Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan."

"Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara."

"Dalam menempuh arus globalisasi ini, ibu bapa semakin alpa (lupa) terhadap tanggungjawab mereka kerana mereka terlalu obses(asyik) mengejar arus modenisasi."

"Menurut sejarah dunia, kejatuhan Empayar Rom disebabkan oleh banyaknya kes jenayah dan keruntuhan akhlak berlaku."

Mungkin ada di antara anda yang menimbulkan persoalan, 'Lah...dah cukuplah dengan jutaan formula yang perlu kami ingat dalam Fizik, Kimia,Matematik dan mata pelajaran yang lain, takkan Bahasa Melayu pun saya perlu lakukan perkara tersebut...'

Tetapi, percaya atau tidak, anda boleh gunakan frasa-frasa yang saya berikan di atas hampir untuk semua soalan karangan yang berbentuk umum. Contohnya, 'usaha-usaha kerajaan dalam mengatasi masalah meruntuhan akhlak remaja', 'kesan-kesan masalah sosial dalam kalangan remaja', 'punca-punca keruntuhan institusi kekeluargaan' dan lain-lain. Oleh itu, takkan anda tidak sanggup menghafal frasa-frasa di atas untuk membina karangan yang lebih baik dalam Bahasa Melayu?

Seterusnya, anda boleh melakukan sedikit 'ciptaan' demi memperkukuh mesej yang anda cuba sampaikan. Cipta statistik dengan satu pihak atau badan yang benar-benar berkait rapat dengan isu yang anda sedang bincangkan.  Kita tidak berniat untuk menipu, cuma kita menunjukkan satu kebenaran melalui 'nombor-nombor' yang ditunjukkan melalui statistik.

Antara badan umum yang anda boleh gunakan untuk mencipta statistik ialah:
~ Institut Sosial Malaysia (untuk isu-isu sosial)
~ Polis DiRaja Malaysia (untuk masalah jenayah)

Misalnya: "Menurut statistik Institut Sosial Malaysia, masalah penceraian dalam kalangan suami dan isteri yang berumur 30 tahun dan ke bawah meningkat pada setiap tahun." 

Mudah bukan? Anda mungkin mengganggap perkara ini sebagai bahagian yang tidak penting dalam sebuah pendahuluan. Namun begitu, 'kehadirannya' dalam karangan anda mampu membawa impak yang besar.

Ayat-ayat rangsangan juga wajar dimasukkan ke dalam karangan anda. Apakah maksud ayat rangsangan (AR)? AR merupakan jenis ayat yang benar-benar membawa pembaca ke dalam 'alam karangan' anda. AR ini bukanlah ayat 'boombastik', tetapi AR ialah ayat yang meningkatkan semangat pembaca untuk terus membaca karangan anda. 

Umpamanya: '...Walau bagaimanapun, segala usaha kerajaan dalam menangani masalah sosial dalam kalangan remaja hanya seperti melukut di tepi gantang kerana kesan sebenarnya tidak dapat dilihat sehingga hari ini.'

Ayat ini mungkin nampak biasa kerana ayat tersebut tidak disertai dengan ayat rangsangan yang lain. Jika AR ditulis dalam sebuah perenggan pendahuluan, impak yang dibawanya menjadi luar biasa.


Contoh pendahuluan lengkap:

Tajuk: Punca-punca masalah pembuangan bayi

"Berikan saya sepuluh orang remaja, nescaya akan saya gegarkan dunia ini,” begitulah ungkapan yang pernah dilontarkan oleh bekas Presiden Parti Indonesia, Soekarno yang menggambarkan betapa gahnya peranan remaja sebagai penentu pembangunan dan kemajuan negara pada masa hadapan. Remaja pada hari ini bakal menerajui pucuk pimpinan negara pada masa hadapan dan merupakan aset modal insan negara bak kata pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Malangnya, keruntuhan akhlak remaja semakin membimbangkan sejak akhir-akhir ini. Salah satu masalah sosial yang kian merebak dalam kalangan remaja ialah masalah pembuangan bayi. Malah, menurut statistik Polis DiRaja Malaysia, kes pembuangan bayi menunjukkan peningkatkan pada tahun 2011 berbanding dengan tahun 2010. Pelbagai usaha kerajaan mahu pun badan-badan bukan kerajaan dalam menyifarkan masalah pembuangan bayi di negara ini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana kes tersebut masih meningkat secara signifikan sehingga hari ini. Hakikatnya, kita perlu mengkaji punca masalah pembuangan bayi jika hendak mengatasinya.

Begitulah cara untuk membina pendahuluan yang mantap untuk membina sebuah karangan yang sempurna.   

Friday 23 March 2012

Karangan yang Mantap

Saya sering mendengar rakan-rakan saya mengeluh, 'Susahlah hendak dapat A+ dalam Bahasa Melayu. Sukar betul hendak bina karangan melebihi 350 patah perkataan. Saya hendak bina 200 patah perkataan pun sudah seperti tercekik darah semasa PMR dahulu, inikan pula hendak membina karangan yang jauh lebih panjang...'

Pernahkah anda mempunyai rakan-rakan seperti di atas? Saya pasti YA!

Tetapi, benarkah membina karangan amat sukar, sehingga ada yang berguling-guling di atas lantai untuk meminta agar cikgu tidak memberikan karangan sebagai kerja rumah? 

Hakikatnya, membina karangan bukanlah sesukar seperti yang kita semua fikirkan. Segala-galanya bermula dengan minat. Jika anda mempunyai minat untuk membina karangan Bahasa Melayu, sudah tentu tugas tersebut menjadi amat mudah sehingga mengejutkan guru-guru anda sendiri!

Jangan risau, saya akan CUBA membantu anda untuk menjadi lebih cemerlang dalam Bahasa Melayu dengan CARA-CARA sebenar untuk membina sebuah karangan yang MANTAP. Tugas anda sangat mudah, bacalah apa yang ingin saya sampaikan melalui alam maya ini...