Sunday 27 May 2012

Contoh Karangan SPM: Langkah-langkah menggalakkan penggunaan Tali Pinggang Keledar Belakang

Sejak akhir-akhir ini, kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat secara drastik. Kajian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendapati 53.3% daripada pengguna yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2011 sehingga mengalami kecederaan parah atau maut ialah penumpang kenderaan yang duduk di bahagian belakang. Berikutan itu, pihak kerajaan telah mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar belakang demi mengatasi masalah tersebut. Malangnya, kesedaran pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan baru ini masih rendah. Oleh itu, pelbagai pihak perlu menggiatkan usaha menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar belakang.

Pertama sekali, pihak kerajaan harus menganjurkan kempen kesedaran. Kempen-kempen tersebut harus menyasarkan golongan muda kerana sesungguhnya melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kempen kesedaran yang dilaksanakan perlulah disertai dengan usaha yang kamil supaya kempen tersebut mencapai objektifnya. Pada masa yang sama, adalah lebih baik jika kempen yang dianjurkan oleh pihak kerajaan berbentuk praktikal. Contohnya, usaha pihak kerajaan tidak harus dihadkan kepada ceramah semata-mata, tetapi perlu menggunakan kaedah yang berbeza seperti memaparkan gambar-gambar kemalangan jalan raya dan membuat simulasi kemalangan yang mampu menyampaikan mesej supaya pengguna jalan raya memakai tali pinggang keledar belakang. Jika kempen kesedaran yang menyeluruh seperti ini dilaksanakan, pasti usaha menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar belakang berjaya.

Selain itu, media massa pula haruslah menyiarkan lebih banyak iklan yang dapat memberikan mesej tentang kepentingan penggunaan tali pinggang keledar belakang. Media massa merupakan wahana yang paling sesuai untuk melakukan langkah ini kerana media massa adalah medium yang sentiasa dekat dengan rakyat Malaysia. Media massa seharusnya menggunakan saluran terkini untuk menyebarkan mesej tersebut. Misalnya, pihak media cetak tidak patut meletakkan had pengiklanan mereka dalam surat khabar semata-mata, tetapi harus bersikap proaktif dan menggunakan laman sosial seperti Facebook untuk menyebarkan mesej mereka. Langkah seperti ini ternyata berkesan di Singapura apabila media massa yang bergiat aktif menyebarkan mesej penggunaan tali pinggang keledar belakang melalui laman sosial sehingga dapat memastikan jumlah kemalangan jalan raya di negara mereka sentiasa rendah. Maka, sekiranya media massa mencontohi langkah bijak tersebut, sudah tentu tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan pemakaian tali pinggang keledar belakang meningkat.

Di samping itu, pihak berkuasa pula perlulah menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang. Sepatutnya, undang-undang negara tidak bersifat seperti melukut di tepi gantang tetapi mestilah dikuatkuasakan secara menyeluruh. Pihak polis harus melakukan pemantauan dan pemeriksaan kerap di kawasan-kawasan yang sering menjadi tempat berlakunya kemalangan jalan raya. Bukan itu sahaja, malah pihak polis patut mengenakan tindakan tegas terhadap penumpang kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar dengan menyaman mereka. Pelaksanaan langkah ini akan menjadi lebih berkesan jika pihak polis tidak menerima rasuah. Sekiranya usaha ini dilakukan dengan serius, pasti penggunaan tali pinggang keledar belakang meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seterusnya, pihak kerajaan juga perlu tampil dan menyediakan bantuan atau insentif dalam pemasangan tali pinggang keledar belakang. Hal ini demikian kerana kebanyakan kenderaan, terutamanya kenderaan yang dikeluarkan sebelum undang-undang yang mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar belakang diperkenalkan tidak dipasang dengan tali pinggang keledar untuk penumpang di bahagian belakang. Situasi ini menjadi serius apabila terdapat pihak tertentu yang sengaja menaikkan harga untuk perkhidmatan memasang tali pinggang keledar tersebut. Oleh itu, pihak kerajaan patut memberikan bantuan supaya pengguna jalan raya tidak terbeban dengan langkah mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar belakang. Bantuan kerajaan tidak merangkumi insentif kewangan semata-mata. Mereka juga perlu membantu dalam mengawal harga pemasangan tali pinggang keledar. Pendek kata, bantuan kerajaan amat mustahak jika ingin menggalakkan pengguna memakai tali pinggang keledar belakang.

Tuntasnya, pelbagai pihak, terutamanya pihak kerajaan dan media massa mestilah berganding bahu dan melaksanakan usaha-usaha demi menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar belakang dalam kalangan pengguna jalan raya di Malaysia. Namun begitu, pada masa yang sama, pengguna jalan raya sendiri harus mempunyai kesedaran untuk memakai tali pinggang keledar kerana segala langkah yang dilaksanakan hanya akan menjadi seperti mencurah air ke daun keladi jika pengguna tidak mahu menerima pelaksanaan langkah tersebut. Sekiranya langkah pemakaian tali pinggang keledar disokong oleh seluruh rakyat Malaysia, pasti jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan.

3 comments: