Wednesday 27 June 2012

Tabahasa: Penggunaan 'Hingga' dan 'Sehingga'

Perbezaan penggunaan perkataan dalam tatabahasa Bahasa Malaysia sering mengelirukan calon PMR dan SPM.

Hingga=> Digunakan untuk menggambarkan masa atau peringkat.

Sehingga=> Digunakan untuk mengambarkan pencapaian sesuatu keadaan.

Contoh ayat:

Ayah saya bekerja hingga petang.
(Petang=> Masa)

Abang saya berjaya melanjutkan pelajarannya hingga menara gading.
(Menara gading=> Peringkat)

Amran berusaha sehingga menjadi johan.
(Menjadi johan=> Pencapaian keadaan)

=> Penggunaan hingga dan sehingga tidak boleh dituruti dengan kata sendi nama yang lain seperti   
     'ke', 'kepada' dan seumpamanya.

Contoh:

Salah:
Ayah saya bekerja hingga ke pagi.
Abang saya berjaya melanjutkan pelajarannya hingga ke menara gading.

Betul:
Ayah saya bekerja hingga pagi.
Abang saya berjaya melanjutkan pelajarannya hingga menara gading.

Selamat mencuba!

Sunday 24 June 2012

Tatabahasa: Penggunaan 'dalam' dan 'di dalam'

Bolehkah kita menggunakan dalam dan di dalam untuk semua situasi? Tidak!

Dalam digunakan untuk menggambarkan ruang ilusi  atau ruang yang tidak wujud.

Di dalam digunakan untuk ruang yang boleh dilihat. 

Contoh:
Tulis nombor kad pengenalan anda di dalam kotak yang disediakan.
(Kotak=>Ruang yang boleh dilihat)

Wajah wanita yang diminatinya itu sentiasa berlegar-legar dalam kotak fikirannya.
(Kotak fikiran=> Ruang ilusi)

Tolong letakkan bola itu di dalam kotak yang berwarna hijau itu.
(Kotak yang berwarna hijau=> Ruang yang boleh dilihat)

Selamat mencuba!

Thursday 21 June 2012

Tatabahasa: Penggunaan 'Dari' dan 'Daripada'

Saya pasti ramai yang sudah tahu tentang penggunaan kata sendi nama dari dan daripada.  Bagi pelajar yang belum tahu;


Dari=> Masa, Tempat, Waktu
Daripada=> Selain daripada ketiga-tiga perkara di atas.

Contoh:

Pak cik saya menunggu kepulangan cucunya dari pagi.
(Pagi=> Waktu)

Adik saya baru pulang dari sekolah.
(Sekolah=> Tempat)

Rancangan televisyen yang baru itu akan disiarkan dari pukul 2.00 sehingga 4.00 petang.
(2.00 pagi=> Masa)

Bakul itu diperbuat daripada rotan.
(Rotan=> Bukan waktu, tempat dan masa)

Selamat mencuba!

Sunday 17 June 2012

Belajar Mengarang: Perkataan 'luar biasa'

Bertemu kembali kita dalam alam maya setelah lama tidak bersua di bahagian belajar mengarang.

Pemeriksa PMR dan SPM sering memeriksa puluhan atau ratusan set kertas jawapan calon dalam satu jangka masa yang pendek. Cuba bayangkan jika anda berada dalam posisi mereka; melihat perkataan yang sama berulang kali selama berhari-hari. Oleh itu, calon PMR dan SPM harus bijak mengambil hati pemeriksa dengan menggunakan perkataan yang luar biasa.

Lihat senarai perkataan di bawah yang boleh anda gantikan dengan perkataan yang lebih menarik atau lain daripada yang lain:

Tanggungjawab=>Peranan, Obligasi
Sejak belakangan ini=> Dewasa ini, Era digital ini, Era globalisasi ini, Era moden ini, Alaf ke-21 ini
Kepentingan=> Kemaslahatan
Merealisasikan=> Menzahirkan
Role model=> Suri teladan

Cuba anda cari perkataan lain dan kongsi bersama dalam blog ini.

Selamat mencuba!


Thursday 14 June 2012

Tatabahasa: Penggunaan 'Antara' dan 'Di antara'

Calon SPM dan PMR sering keliru atau menggunakan perkataan yang salah semasa memilih istilah 'antara'  dan 'di antara'. 

Antara digunakan untuk perkara selain ruang.
Di antara digunakan untuk menggambarkan ruang atau tempat.

Contoh:

Antara contoh buah-buahan tempatan ialah durian, mangga dan manggis.

Hotel  itu terletak di antara pusat beli-belah dan bank.

Selamat mencuba!  

Sunday 10 June 2012

Tatabahasa: Tahukah anda?

Calon PMR dan SPM malah lepasan universiti sekali pun menggunakan Bahasa Malaysia yang digunakan dalam pergaulan seharian sebagai bahasa yang gramatis. Kita harus sedar bahawa teknik ini adalah salah dan akan menjejaskan kualiti karangan yang kita hasilkan.

Salah: 
Sejak kebelakangan ini
Pada masa kini
Oleh kerana itu
Sebenarnya (kurang gramatis)
Terbaru
Selain daripada itu

Betul:
Sejak belakangan ini
Pada masa ini 
Kini
Oleh sebab itu
Oleh itu
Hakikatnya
Baru-baru ini
Selain itu
Selamat mencuba!

Saturday 9 June 2012

Tatabahasa: Penggunaan Kata Ganti Diri 'Ia'

Sering kali, calon PMR dan SPM menulis ayat-ayat seperti berikut:

=> Saya mempunyai seekor kucing. Ia berwarna hitam.
=> Kambing itu terkejut apabila ia disiram dengan air.
=> Adik saya mempunyai sebuah komputer. Ia berharga RM 3, 690.

Sebenarnya, ayat-ayat di atas kurang tepat dan tidak gramatis. Hal ini demikian kerana: 
=> kata ganti diri hanya digunakan untuk manusia; dan
=> ia merupakan singkatan kata ganti diri dia

Oleh itu, penggunaan ia adalah sama seperti penggunaan dia. Lihat contoh-contoh ayat di bawah:

=> Saya mempunyai seekor kucing. Dia berwarna hitam.
=> Kambing itu terkejut apabila dia disiram dengan air.
=> Adik saya mempunyai sebuah komputer. Dia berharga RM 3, 690.

Bukankah ayat-ayat di atas berbunyi pelik? Oleh itu, jangan gunakan kata ganti diri  ia untuk objek atau perkara lain selain manusia. 

Sepatutnya,

=> Saya mempunyai seekor kucing. Kucing saya berwarna hitam.
=> Kambing itu terkejut apabila disiram dengan air.
=> Adik saya mempunyai sebuah komputer. Komputernya berharga RM 3, 690.

Selamat mencuba!

Contoh Karangan PMR: Kesan-kesan Negatif Pembangunan Secara Tidak Terancang

Dewasa ini, pembangunan di Malaysia semakin rancak dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Malah, kerajaan telah merangka dasar-dasar yang mampu menukar wajah Malaysia dalam mengejar Wawasan 2020. Malangnya, pihak yang melaksanakan pembangunan di Malaysia sering terlepas pandang impak-impak negatifnya. Hakikatnya, terdapat pelbagai kesan buruk pembangunan secara tidak terancang.

Pertama sekali, sektor pelancongan negara akan terjejas jika pembangunan yang dilaksanakan mengganggu keistimewaan di Malaysia. Pada hari ini, negara kita merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di benua Asia. Hal ini terbukti apabila Malaysia berada di tangga ke-7 di Benua Asia dalam Indeks Pelancongan dan Perjalanan Dunia 2011. Namun begitu, sektor pelancongan pasti akan terjejas jika pembangunan dilaksanakan secara tidak terancang. Menurut Kementerian Pelancongan Malaysia, salah satu jenis pelancongan yang terkenal di Malaysia ialah eko-pelancongan. Sekiranya penerokaan hutan semakin berleluasa, sudah tentu pelancongan tersebut akan terjejas. Contohnya, bilangan pelancong di Cameron Hinglands semakin berkurang akibat penerokaan hutan yang menjadikan keadaan cuaca di kawasan pelancongan itu semakin panas. Keadaan yang sama berlaku di kawasan Hulu Langat, Selangor yang sering mengalami tanah runtuh akibat pembangunan yang tidak terkawal. Kesannya, pelancong tempatan mahupun pelancong asing tidak berani untuk melancong di kawasan tersebut. Keadaan seperti inilah yang akan terus berlaku jika pembangunan dilaksanakan secara tidak terancang dan seterusnya menjejaskan sektor pelancongan negara yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan dan ekonomi negara.

Selain itu, bencana alam juga akan berlaku akibat pembangunan secara tidak terancang. Hal ini demikian kerana pembinaan bangunan konkrit serta jalan tar akan menutup permukaan bumi dan menghalangnya daripada meresap air ke dalam tanah. Kesannya, tanah runtuh dan banjir kilat akan sentiasa berlaku. Misalnya, Kuala Lumpur sering mengalami banjir kilat, terutamanya semasa musim hujan. Keadaan ini disebabkan oleh sistem perparitan yang dibina di ibu negara tidak terancang dan kini, tidak mampu menampung air yang banyak. Situasi yang lebih berbahaya pula sering timbul di kawasan tanah tinggi. Pembinaan kawasan perumahan secara tidak terancang di Bukit Antarabangsa telah menyebabkan inisden tanah runtuh pada tahun 2008 sehingga menyebabkan 4 orang maut. Pada tahun lalu pula, satu kejadian tanah runtuh di Hulu Langat telah meranapkan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa sehingga menyebabkan nyawa 16 orang penghuni madrasah tersebut melayang. Kejadian-kejadian ini sesungguhnya membuktikan pembangunan secara tidak terancang akan menjadi punca bencana alam yang berbahaya dan di luar jangkaan kita.

Di samping itu, lanskap fizikal sesebuah kawasan juga akan berubah. Perubahan lanskap fizikal ini akan membawa kesan untuk jangka masa yang panjang. Contohnya, pembinaan kondominium di Templer Park, Selangor telah mengubah lanskap hutan dan kawasan sekitarnya. Hal ini telah menyebabkan kawasan tadahan air di situ terjejas. Suhu di kawasan pelancongan Tanah Tinggi Genting dan Tanah Tinggi Cameron juga semakin meningkat dari tahun ke tahun akibat penerokaan hutan. Situasi yang sama berlaku di seluruh negara apabila suhu purata tahunan yang berada pada paras 27.1 darjah celcius pada tahun 2000 kini meningkat kepada 30.0 darjah celcius. Perubahan lanskap seperti ini tidak dapat dibaiki, malah akan menjadi semakin kritikal sekiranya pembangunan secara tidak terancang terus dilaksanakan.

Seterusnya, pelbagai spesies flora dan fauna di Malaysia pula akan terancam. Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), perundangan sahaja tidak dapat mengurangkan ancaman terhadap hidupan liar di Malaysia kerana pembangunan yang dilaksanakan turut memberi impak terhadap populasi fauna. Pembangunan di Malaysia ternyata memberikan kesan negatif terhadap populasi pelbagai haiwan seperti harimau belang, gajah, badak cipan serta pelbagai jenis burung. Contohnya, populasi badak Sumatera semakin berkurang dan hanya 90 ekor spesies badak yang diancam kepupusan itu ditemui di seluruh Malaysia. Situasi yang sama berlaku terhadap spesies flora di negara kita. Rafflesia yang hanya terdapat di beberapa negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia kini sukar ditemui. Terbaru, (FRIM) telah menggariskan dua jenis tumbuhan yang diancam kepupusan akibat pembangunan di Sarawak dan Selangor, iaitu Keruing Layang dan Merawan Kanching. Jika pembangunan di Malaysia terus dilakukan tanpa perancangan yang teliti, tidak mustahil generasi masa hadapan tidak dapat melihat keindahan flora dan fauna, termasuk Burung Kenyalang dan Bunga Raya!


Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kesan negatif pembangunan secara tidak terancang terhadap negara. Oleh sebab itu, semua pihak terutamanya ibu bapa, media massa, pihak sekolah dan pihak kerajaan harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi masing-masing demi menyemai kepentingan pembangunan secara terancang dalam diri generasi muda kerana sesungguhnya melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika hasrat ini berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju tanpa menyebabkan impak yang tidak diingini membelenggu negara. Semoga dengan penyelesaian masalah ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal di seantero dunia.



Tuesday 5 June 2012

Tatabahasa: Penggunaan partikel '-kah'

Benarkah partikel '-kah' boleh digunakan dalam apa jua keadaan untuk ayat tanya? Tidak!


Partikel -kah hanya digunakan pada perkataan pertama yang hadir dalam sesebuah ayat. Partikel ini tidak boleh digunakan pada perkataan terakhir sesebuah ayat.

Contoh ayat yang salah:

Lelaki yang tinggi itu siapakah?
Objek berwarna jingga itu apakah?
Majlis perkahwinan itu akan bermula bilakah?
Siapa perempuan yang cantik itu?
Perlu saya ambil meja itu?


Contoh ayat yang betul:

Siapakah lelaki yang tinggi itu? atau Lelaki yang tinggi itu siapa?
Apakah objek berwarna jingga itu? atau Objek berwarna jingga itu apa?
Bilakah majlis perkahwinan itu akan bermula? atau Majlis perkahwinan itu akan bermula bila?
Siapakah perempuan cantik itu? atau Perempuan cantik itu siapa?
Perlukah saya ambil meja itu?

Selamat mencuba!

Monday 4 June 2012

Tatabahasa: Penggunaan 'manakala' dan 'sementara'

Benarkah penggunaan 'manakala' dan 'sementara' sama dan boleh digunakan dalam apa jua keadaan? Tidak!


Kata hubung manakala digunakan jika jumlah manusia, haiwan dan seumpamanya yang hadir selepas perkataan tersebut melebihi satu.


Kata hubung sementara digunakan jika jumlah manusia, haiwan dan seumpamanya yang hadir selepas perkataan tersebut hanya satu.


Cara untuk ingat:
Sementara=>Satu.
Maka, 'manakala' pastilah melebihi satu!


Contoh:
Mak cik Minah sedang menjemur kain manakala anak-anaknya sedang mengemas rumah.
(Anak-anak=> lebih daripada seorang)

Encik Halim sedang menonton televisyen sementara menunggu isterinya pulang dari rumah ibunya.
(Isteri=> Seorang)

Anjing itu berlari dengan pantas sementara tuannya leka berbual dengan seorang anggota polis.
(Tuan=> Seorang)

Abang saya sedang leka bermain permainan komputer manakala saya dan adik saya sedang mengulang kaji pelajaran.
(Saya dan adik saya=> lebih daripada seorang)

Selamat mencuba!

Tatabahasa: Penggunaan 'ialah' dan 'adalah'

Calon PMR dan SPM sering keliru apabila menggunakan perkataan 'ialah' dan 'adalah'. Sebenarnya, mudah sahaja untuk membezakan penggunaan kedua-dua perkataan ini.

Ialah=> Hadir sebelum kata nama.
Adalah=> Hadir  sebelum selain kata nama.

Contoh:

Ayah saya ialah seorang doktor. (Doktor: Kata nama)
Meja baru itu adalah untuk ibu saya. (Untuk: Kata sendi nama)

Selamat mencuba!

Friday 1 June 2012

Tatabahasa: Menggandakan kata majmuk

=> Alat tulis-alat tulis
=> Alat-alat tulis
=> Alat tulis-tulis

Antara ketiga-tiga pilihan di atas, perkataan manakah yang betul dan tidak mempunyai kesalahan tatabahasa?

Sebenarnya, mudah sahaja untuk anda memahami undang-undang bahasa supaya tidak melakukan kesalahan semasa menggandakan kata majmuk.

=> Gandakan perkataan pertama sahaja dalam kata majmuk.

Ini bermakna, kata ganda alat-alat tulis ialah perkataan yang paling tepat dan tidak mempunyai kesalahan tatabahasa. Contoh perkataan lain:

=> Kata-kata aluan
=> Lori-lori sampah
=> Peta-peta minda
=> Komputer-komputer riba
=> Surat-surat khabar
=> Buku-buku teks
=> pensel-pensel kayu

Selamat mencuba!