Wednesday 14 November 2012

Contoh Karangan SPM: Ciri-ciri Remaja Gemilang

Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit satu persoalan yang sering menjadi topik perbualan masyarakat pada hari ini, iaitu ciri-ciri sebenar remaja gemilang. Mantan presiden Indonesia, Seokarno pernah berkata, "berikan saya sepuluh orang belia waja, nescaya saya akan gegarkan dunia ini". Kata-kata beliau jelas membuktikan bahawa remaja yang merupakan insan kerdil ciptaan Tuhan mampu melakukan anjakan paradigma terhadap masyarakat, negara dan dunia. Menyedari hakikat ini, pihak kerajaan dengan kerjasama badan-badan bukan kerajaan giat melaksanakan pelbagai langkah demi membentuk remaja yang dapat memberi impak saujana terhadap negara pada masa hadapan. Tamsilnya, pihak kerajaan telah memperkenalkan program Rakan Muda yang bermatlamat untuk melahirkan remaja yang sempurna dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Lebih-lebih lagi, mereka turut menganjurkan Himpunan Jutaan Belia pada setiap tahun untuk menghimpunkan remaja dari seluruh negara dan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti secara sihat. Setiap langkah ini dilaksanakan demi melahirkan remaja yang gemilang dengan ciri-ciri tertentu.

Pertama sekali, remaja gemilang merupakan remaja yang sentiasa menunjukkan ketaatan yang utuh terhadap negara. Tunas yang baru sahaja mengenali dunia ini dapat disifatkan sebagai individu yang cemerlang jika mereka sentiasa sudi memberi sumbangan kepada tanah air mereka. Remaja gemilang patut bergiat secara aktif dalam pelbagai pertandingan di peringkat antarabangsa demi mengharumkan nama Malaysia. Umpamanya, remaja harus mencontohi Pandalela Rinong yang baru sahaja berumur 19 tahun tetapi telah berjaya meraih satu pingat gangsa dalam Sukan Olimpik yang lalu sekali gus menyebabkan Malaysia mendapat tumpuan masyarakat di seluruh dunia. Pada masa yang sama, remaja perlu mengelakkan diri daripada kegiatan yang mampu menjejaskan keharmonian negara. Mereka tidak patut menjadi duri dalam daging sehingga mudah dipengaruhi oleh pihak tertentu untuk kepentingan peribadi mereka. Contohnya, remaja seharusnya tidak terlibat dengan perhimpunan haram yang jelas memburukkan negara pada pandangan mata dunia. Maka, remaja yang sentiasa sudi memberi sumbangan kepada negara serta tidak melakukan onarlah yang dikatakan sebagai remaja gemilang yang taat kepada negara.

Di samping itu, remaja gemilang juga merupakan golongan muda yang mempunyai jati diri. Hakikatnya, remaja kini sering terlibat dengan pelbagai gejala sosial. Contohnya, gejala pembuangan bayi, vandalisme dan gangsterisme semakin berleluasa dalam kalangan golongan muda malah berada pada tahap kritikal. Keadaan ini bertambah keruh apabila remaja mudah dipengaruhi dengan budaya kuning dan semakin melupakan budaya timur. Sebagai contoh, cara berpakaian dan pertuturan harian golongan muda kini bersifat 'kebaratan'. Namun begitu, jika remaja berjati diri, sudah tentu mereka sentiasa sanggup mempertahankan budaya timur yang sememangnya kaya dengan pelbagai amalan yang luhur. Misalnya, masyarakat Timur amat menekankan amalan menghormati orang yang lebih tua, cara berpakaian secara bersopan serta pertuturan yang disenangi oleh semua lapisan masyarakat. Secara tidak langsung, remaja akan berdisiplin dan tidak terlibat dengan kegiatan negatif. Maka, golongan remaja inilah yang dikatakan sebagai gemilang.

Selain itu, sebagai golongan rakyat yang bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan, remaja gemilang harus mempunyai semangat inkuiri yang tinggi. Hal ini demikian kerana tanpa semangat untuk mencuba sesuatu perkara yang baharu, remaja tidak akan dapat memajukan diri dan negara. Tamsilnya, remaja mestilah melibatkan diri dalam penyelidikan dan pembangunan serta berani untuk menerokai sesuatu bidang yang baharu. Remaja patut mencontohi individu-individu yang berjaya dalam hidup mereka pada usia yang muda. Umpamanya, seorang pelajar berumur 16 tahun di Nepal telah berjaya mencipta sebuah alat yang dapat menghasilkan kuasa elektrik daripada rambut. Kisah kejayaannya mendapat perhatian seluruh dunia sehingga dia ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajarannya di Amerika Syarikat. Individu seperti inilah yang dikatakan sebagai remaja gemilang. Walau bagaimanapun, remaja haruslah berfikir secara rasional dan mengelakkan perkara-perkara yang mampu memudaratkan diri mereka dan orang lain. Secara ringkas, semangat inkuiri yang dimiliki oleh remaja mestilah digunakan secara positif untuk pembangunan masyarakat. Situasi ini sudah tentu melahirkan remaja gemilang yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Seterusnya, kita perlu sedar dan ingat bahawa remaja gemilang juga perlu mempunyai ilmu keagamaan yang lengkap dalam diri mereka. Golongan muda tidak patut bersikap materialistik tetapi haruslah mengamalkan amalan harian yang selari dengan pegangan agama mereka. Seseorang remaja masih akan dipandang rendah dan dihina oleh masyarakat walaupun dia berjaya dalam hidup tetapi tidak mempercayai kewujudan Tuhan sehingga sering melakukan perkara-perkara yang bertentangan dengan ajaran agama. Contohnya, remaja yang cemerlang dalam akademik dan aktif dalam sukan akan tetap dicela jika tidak menunaikan kewajipannya sebagai seorang penganut agama tertentu. Oleh sebab itu, remaja gemilang perlu sentiasa berpegang kepada ajaran agamanya. Misalnya, sebagai seorang penganut agama Islam, remaja harus menunaikan solat lima kali pada setiap hari. Setiap penganut agama Buddha dan Hindu pula perlu mempercayai hukum karma yang menekankan bahawa setiap tindakan manusia pasti ada balasannya. Keadaan ini seterusnya akan melahirkan remaja yang sentiasa mempunyai satu pegangan hidup yang kukuh.

Tuntasnya, sememangnya terdapat pelbagai ciri remaja gemilang. Oleh itu, pihak kerajaan, badan-badan bukan kerajaan, pihak sekolah dan ibu bapa perlu mengenal pasti dan melaksanakan langkah-langkah yang dapat membantu remaja membina keperibadian diri mereka secara positif dan holistik. Kita perlu sentiasa ingat bahawa masa hadapan Malaysia terletak pada tangan remaja. Malah, gambaran masa hadapan negara dapat dilihat melalui remaja pada hari ini. Maka, remaja gemilang sememangnya mustahak jika kita mahu melihat Malaysia terus membangun dan mencapai status negara maju. Sekiranya remaja gemilang dapat dibentuk, sudah tentu negara kita yang tercinta dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju seperti Jepun, Singapura dan Amerika Syarikat sekali gus menzahirkan Wawasan 2020.