Tuesday 29 January 2013

Tatabahasa: Institusi atau Institut?

Kita sering keliru apabila terdapat frasa yang melibatkan perkataan institut dan institusi. Sebenarnya, terdapat perbezaan yang sangat ketara antara kedua-dua perkataan tersebut.

Institusi: Badan atau organisasi yang melaksanakan sesuatu operasi, perkara atau mengetuai sesebuah tugas.

Contoh:
Institusi keluarga=> Secara tidak langsung, frasa ini bermaksud ibu bapa.
Institusi universiti=> Badan yang menguruskan universiti
Insititusi kewangan=> Badan yang menguruskan hal-hal kewangan; bank

Institut=> Merujuk kepada pertubuhan atau persatuan yang bertujuan untuk melaksanakan perkara tertentu seperti pendidikan, penyelidikan dan sebagainya.

Contoh:
Institut pendidikan tinggi=> 'Pertubuhan' pendidikan tinggi

Perkataan Institusi sering digunakan untuk perkara-perkara yang abstrak sementara perkataan Institut pula digunakan untuk perkara-perkara yang konkrit.

Selamat mencuba!

Thursday 24 January 2013

Belajar Mengarang: Nombor atau Perkataan?

Pelajar sering keliru apabila mengemukakan fakta atau isu yang melibatkan nombor. Hal ini timbul apabila terdapat guru yang melarang penggunaan nombor dalam karangan dengan alasan "Skema pemarkahan tidak membenarkan penggunaan nombor dalam karangan."

Hakikatnya, skema pemarkahan tidak melarang pelajar menggunakan nombor dalam karangan. Namun begitu, pemeriksa kertas peperiksaan anda tidak melihat bahasa atau kemantapan ayat anda semata-mata, tetapi turut melihat tahap kemalasan anda.

Penggunaan nombor yang banyak dalam karangan akan menyebabkan pemeriksa menganggap anda malas dan kurang berminat untuk menulis karangan. Oleh sebab itulah, anda digalakkan menulis nombor dalam bentuk perkataan.

Walau bagaimanapun, jika anda merupakan seorang 'pakar' karangan yang sering menulis karangan sehingga saat-saat terakhir semasa peperiksaan, elakkan menulis nombor yang memerlukan anda menulis dengan lama. Namun begitu, janganlan terlampau malas sehingga menulis satu, dua atau tiga dalam bentuk nombor.

Saranan nombor yang patut anda tulis dalam bentuk perkataan:

- Satu hingga dua puluh
- Setiap nombor yang bermula dengan nombor selain sifar dan diikuti dengan digit sifar sahaja (tiga puluh, empat puluh, seratus, dua ratus, seribu, sembilan ribu, dua juta dan seterusnya)

Selamat mencuba!

Tuesday 22 January 2013

Belajar Mengarang: Contoh Ungkapan Luar Biasa

1) "Berikan saya sepuluh orang belia, nescaya saya akan gegarkan dunia ini." Begitulah ungkapan yang pernah diluahkan oleh Seokarno, mantan presiden Indonesia. Kata-kata beliau jelas membuktikan bahawa golongan muda mampu melakukan anjakan paradigma terhadap pembangunan masyakarat, negara serta dunia.

2) “Kita tidak mewarisi alam sekitar daripada nenek moyang kita, tetapi meminjamnya daripada generasi akan datang.” Begitulah ungkapan terkenal yang pernah diluahkan oleh negarawan ulung India, Mahatma Gandhi. Kata-kata beliau seharusnya menyedarkan kita bahawa alam sekitar perlu dipelihara dan dipulihara supaya generasi pada masa hadapan dapat terus tinggal di dunia ini dengan selesa.


3) Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit satu isu/persoalan yang sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia, iaitu...

4) Hakikatnya, institusi keluarga merupakan hospital yang paling unggul untuk memulihkan keadaan yang semakin parah ini.

5) Ibu bapa harus menjadi suri teladan dengan turut mengamalkan amalan mulia tersebut supaya menjadi ikutan anak-anak muda kerana sesungguhnya bagaimana acuan, begitulah kuihnya.

Selamat mencuba!

Thursday 17 January 2013

Senarai peribahasa (Buku Teks Tingkatan 5)

Senarai Peribahasa dalam Buku Teks Tingkatan 5

1. Lintah Darat

- Peniaga yang mengambil keuntungan yang terlalu tinggi

2. Bagai aur dengan tebing

- saling membantu/ bekerjasama

3. Anak Dagang

- Perantau/orang luar yang datang menetap di sesuatu tempat

4. Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri

- Banyak kelebihan negeri orang tetapi negeri sendiri tetap lebih baik

5. Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai

- kalau takut menghadapi cabaran(penderitaan), lebih baik jangan melakukan sesuatu yang susah

6. Indah khabar daripada rupa

- Perkhabaran tentang sesuatu perkara yang dilebih-lebihkan

7. Hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah

- pengagihan yang sama banyak/sama-sama dapat merasa

8. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak

- menyesuaikan diri dengan tempat dan keadaan

9. Kacang lupakan kulit

- lupa asal usul/tidak mengenang jasa

10.Bukit sama didaki, lurah sama dituruni

- susah senang hadapi bersama

11. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung

- menurut adat/peraturan di tempat kita tinggal atau pergi

12. Ibarat telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua

- kesilapan yang dilakukan oleh seseorang menyebabkan orang lain yang menerima akibatnya

13. Memerah otak

- berfikir dengan bersungguh-sungguh

14. Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya

- jika tidak berusaha,tidak akan dapat mencapai kejayaan

15. Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian

- bersusah payah dahulu untuk mendapat kesenangan pada masa depan

16. Yang bulat tidak datang menggolek, yang pipih tidak datang melayang


- sesuatu benda/kejayaan tidak akan dicapai jika tidak berusaha

17. Sedikit-sedikit, lama-lama jadi bukit

- walaupun tidak banyak tetapi jika dikumpul akhirnya akan menjadi banyak

18. Bak cendawan tumbuh selepas hujan

- bertambah dengan banyak dalam masa yang singkat

19. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

- kata sepakat yang dicapai dalam mesyuarat

20. Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran

- sesuatu yang sudah ada dalam genggaman terlepas/hilang disebabkan tamak untuk mendapatkan sesuatu yang belum pasti

21. Mencari jalan

- berikhtiar menyelesaikan sesuatu perkara/masalah

22. Biar mati anak, jangan mati adat

- kuat berpegang pada adat/mmempertahankan adat

23. Sediakan payung sebelum hujan

- bersiap sedia/membuat persediaan awal sebelum ditimpa sesuatu bencana/nasib malang

24. Besar hati

- gembira

25. Anak buah

- anak saudara/pekerja dibawah jagaan kita

26. Tuan rumah

- tempat berlangsung sesuatu acara

27. Yang lama dikelek, yang baharu didukung

- adat yang lama tetap diamalkan di samping budaya hidup yang baru

28. Batu penghalang

- halangan/rintangan

29. Untung anak lelaki cari-carikan, untung anak perempuan nanti-nantikan

- orang lelaki yang merisik bakal isterinya

30. Bagai ikan pulang ke lubuk

- orang yang pulang ke tempat asal

Tuesday 15 January 2013

Senarai Peribahasa (Buku Teks Tingkatan 4)

Salam sejahtera kepada setiap insan yang sudi meluangkan masa bersama saya secara maya. Pada hari ini, saya akan berkongsi sedikit tips yang amat berguna untuk pelajar-pelajar SPM dan PMR.
Soalan 2(e) dalam peperiksaan Bahasa Melayu SPM kertas 2 merupakan soalan yang sering 'membunuh' harapan pelajar untuk mendapat markah yang cemerlang dalam mata pelajaran ini. Soalan 2(e) terdiri daripada 3 soalan peribahasa.

Sebenarnya, kebanyakan pelajar tidak tahu bahawa setiap peribahasa yang dikemukakan dalam soalan tersebut merupakan peribahasa dari buku teks tingkatan 4 atau tingkatan 5. Oleh itu, saya ingin berkongsi senarai peribahasa dari buku teks tingkatan 4 untuk memudahkan para pelajar membuat rujukan.
Senarai Peribahasa dalam Buku Teks Tingkatan 4

1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

- Kata sepakat yang tercapai dalam masyarakat

2. Darah Daging

- Anak /saudara-mara daripada keturunan sendiri

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

- bersama-sama mengerjakan/menghadapi sesuatu

4. Meninggi diri

- sombong

5. Bermuka dua

- tidak jujur/pandai berpura-pura

6.Baik hati

- bersikap baik dan penyayang (suka membantu orang lain)

7. Tulang belakang

- punca kekuatan/orang yang dijadikan sandaran(harapan)

8. Bara yang digenggam biar sampai jadi arang

- mengerjakan sesuatu sehingga berjaya

9. Bagai kaca terhempas ke batu

- sangat sedih/kecewa

10. Melentur buluh biarlah dari rebungnya

- mendidik anak sejak mereka kecil lagi

11. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi

- sama taraf/darjat

12. Seperti lembu dicucuk hidung

- orang yang selalu menurut kemahuan orang lain

13. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air

- segala yang dikehendaki sudah diperoleh

14. Terang hati

- mudah menerima tunjuk ajar/pandai

15. Rendah hati

- tidak sombong

16. Murah hati

- Pemurah/tidak kedekut

17. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas

- sesuatu yang utuh/tidak berubah

18. Tangan kosong

- hampa/tiada hasil

*Pelajar juga digalakkan untuk menggunakan peribahasa semasa mengarang. Hal ini demikian kerana, skema pemarkahan yang sebenar amat menitikberatkan penggunaan bahasa yang indah serta menarik. Bahasa Malaysia akan menjadi lebih indah jika anda menggunakan peribahasa. Namun begitu, berhati-hati semasa menggunakan peribahasa. Pastikan anda memahami maksud peribahasa sebelum menggunakannya.

Selamat mencuba!!! 

Thursday 10 January 2013

Tatabahasa: CaTAT

Catat=> Menulis sesuatu perkara (yang berbentuk perkataan) untuk peringatan.
Contoh ayat: Murid-murid itu sedang mencatat butiran mengenai ceramah motivasi yang akan diadakan pada bulan hadapan.

Catit=> Menulis sesuatu perkara (yang berbentuk nombor) untuk peringatan.
Contoh ayat: Pak Ali sedang mencatit nombor telefon jiran baharunya.

Catut=> Penyepit (utk mencabut janggut dll), pencabut paku, atau lebih dikenali sebagai kakaktua.
Contoh ayat: Pak Abu sedang mencabut paku-paku itu dengan menggunakan sebuah catut.

Selamat mencuba!!!

Tuesday 8 January 2013

Tatabahasa: ‘...kkan’, atau ‘...kan’?




Cuba anda pilih salah satu perkataan yang tepat yang tidak mempunyai kesalahan tatabahasa bagi setiap pasangan perkataan di bawah:

Menggunakan atau Menggunakkan?
Menaikkan atau Menaikan?
Kenaikan atau Kenaikkan?
Rompakan atau Rompakkan?

Sebenarnya, mudah sahaja untuk mengetahui perkataan yang tidak mempunyai kesalahan tatabahasa.

1) Jangan gandakan huruf k jika perkataan akar tidak tamat dengan huruf tersebut.

Contoh: Menggunakan atau Menggunakkan?

Perkataan akar: Guna (tidak tamat dengan huruf k)
Oleh sebab itu, anda tidak perlu menggandakan huruf k.
Perkataan yang betul: Menggunakan

2) Jika perkataan akar tamat dengan huruf k,

a) Lakukan penggandaan huruf k hanya jika imbuhan awalan yang digunakan bermula dengan huruf m.
 b) jangan gandakan huruf k jika imbuhan awalan yang digunakan bermula dengan huruf selain huruf m.

Contoh: Menaikan atau Menaikkan?

Perkataan akar: Naik (tamat dengan huruf k)
Imbuhan awalan: Me- (bermual dengan huruf m)
Oleh sebab itu, anda perlu menggandakan huruf k.
Perkataan yang betul: Menaikkan

Kenaikkan atau Kenaikan?

Perkataan akar: Naik (tamat dengan huruf k)
Imbuhan awalan: Ke- (tidak bermula dengan huruf m)
Oleh sebab itu, anda tidak perlu menggandakan huruf k.
Perkataan yang betul: Kenaikan

Rompakan atau Rompakkan?

Perkataan akar: Rompak (tamat dengan huruf k)
Imbuhan awalan: Tiada
Oleh sebab itu, anda tidak perlu menggandakan huruf k.
Perkataan yang betul: Rompakan

Selamat mencuba!!!


Thursday 3 January 2013

Tatabahasa: Perbezaan ‘IntiP’



Intip=> melihat pergerakan seseorang atau sesuatu dengan menyamar atau secara bersembunyi-sembunyi

Intim=> sangat rapat (berkenaan hubungan antara negara, manusia dan lain-lain)

Inti=> inti yang terdapat dalam sesuatu kuih; isi sesuatu perbincangan

Selamat mencuba!!!

Tuesday 1 January 2013

Tatabahasa: Perbezaan frasa “Temu ...”

      

Sudah lama kita tidak bertemu melalui alam maya ini. Ilmu yang saya ingin kongsi kali ini amat berguna untuk pelajar PMR dan SPM kerana frasa-frasa yang akan saya terangkan sering disoal dan diuji dalam PMR kertas 1 serta SPM kertas 2. 

Baiklah, adakah anda tahu perbezaan frasa-frasa berikut?
- Temu janji
- Temu bual
- Temu ramah
- Temu duga

Hakikatnya, kita tidak perlu menghafal maksud setiap frasa di atas. Cuma, fahamilah maksud perkataan yang hadir selepas perkataan ‘temu’.

Temu janji=> Pertemuan yang diadakan untuk melaksanakan sesuatu janji. Contohnya, frasa ini digunakan untuk pertemuan kita dengan teman wanita atau teman lelaki, di mana kita   berjanji untuk bertemu dan membelanjanya makan malam atau sebagainya.

Contoh ayat: Siti memarahi Amran kerana sering membatalkan temu janjinya pada minit-minit terakhir.

Temu bual=> Pertemuan yang diadakan untuk berbual secara terperinci tentang sesuatu perkara (insiden). Contohnya, frasa ini digunakan apabila wartawan sedang berbual dengan seseorang untuk mengetahui sesuatu insiden secara terperinci, bukannya untuk mengetahui tentang seseorang atau diri orang itu.

Contoh ayat: Wartawan Akhbar Sinar Harian itu sedang menemu bual pengurus besar syarikat Zikumi yang dipercayai menjadi dalang insiden pembunuhan salah seorang pekerja di syarikatnya itu.

Temu ramah=> Pertemuan yang diadakan untuk berbual secara ramah mengenai sesuatu perkara. Contohnya, frasa ini sering digunakan apabila wartawan sedang berbual dengan seseorang untuk mengetahui diri seseorang secara lebih mendalam atau mengenai sesuatu perniagaan.

Contoh ayat: Wartawan itu sedang menemu ramah atlet sukan yang berjaya meraih pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik yang lalu.

Temu duga=> Pertemuan yang diadakan untuk memberi dugaan (cabaran) kepada seseorang. Contohnya, frasa ini digunakan apabila majikan sesebuah syarikat sedang menyoal seorang calon pekerjanya.

Contoh ayat: Temu duga secara terbuka di pasar raya besar itu berjaya menarik perhatian hampir 100 orang individu yang tidak mempunyai pekerjaan.

Selamat mencuba!!!