Tuesday 15 January 2013

Senarai Peribahasa (Buku Teks Tingkatan 4)

Salam sejahtera kepada setiap insan yang sudi meluangkan masa bersama saya secara maya. Pada hari ini, saya akan berkongsi sedikit tips yang amat berguna untuk pelajar-pelajar SPM dan PMR.
Soalan 2(e) dalam peperiksaan Bahasa Melayu SPM kertas 2 merupakan soalan yang sering 'membunuh' harapan pelajar untuk mendapat markah yang cemerlang dalam mata pelajaran ini. Soalan 2(e) terdiri daripada 3 soalan peribahasa.

Sebenarnya, kebanyakan pelajar tidak tahu bahawa setiap peribahasa yang dikemukakan dalam soalan tersebut merupakan peribahasa dari buku teks tingkatan 4 atau tingkatan 5. Oleh itu, saya ingin berkongsi senarai peribahasa dari buku teks tingkatan 4 untuk memudahkan para pelajar membuat rujukan.
Senarai Peribahasa dalam Buku Teks Tingkatan 4

1. Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat

- Kata sepakat yang tercapai dalam masyarakat

2. Darah Daging

- Anak /saudara-mara daripada keturunan sendiri

3. Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing

- bersama-sama mengerjakan/menghadapi sesuatu

4. Meninggi diri

- sombong

5. Bermuka dua

- tidak jujur/pandai berpura-pura

6.Baik hati

- bersikap baik dan penyayang (suka membantu orang lain)

7. Tulang belakang

- punca kekuatan/orang yang dijadikan sandaran(harapan)

8. Bara yang digenggam biar sampai jadi arang

- mengerjakan sesuatu sehingga berjaya

9. Bagai kaca terhempas ke batu

- sangat sedih/kecewa

10. Melentur buluh biarlah dari rebungnya

- mendidik anak sejak mereka kecil lagi

11. Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi

- sama taraf/darjat

12. Seperti lembu dicucuk hidung

- orang yang selalu menurut kemahuan orang lain

13. Dayung sudah di tangan, perahu sudah di air

- segala yang dikehendaki sudah diperoleh

14. Terang hati

- mudah menerima tunjuk ajar/pandai

15. Rendah hati

- tidak sombong

16. Murah hati

- Pemurah/tidak kedekut

17. Tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas

- sesuatu yang utuh/tidak berubah

18. Tangan kosong

- hampa/tiada hasil

*Pelajar juga digalakkan untuk menggunakan peribahasa semasa mengarang. Hal ini demikian kerana, skema pemarkahan yang sebenar amat menitikberatkan penggunaan bahasa yang indah serta menarik. Bahasa Malaysia akan menjadi lebih indah jika anda menggunakan peribahasa. Namun begitu, berhati-hati semasa menggunakan peribahasa. Pastikan anda memahami maksud peribahasa sebelum menggunakannya.

Selamat mencuba!!! 

No comments:

Post a Comment