Tuesday 1 January 2013

Tatabahasa: Perbezaan frasa “Temu ...”

      

Sudah lama kita tidak bertemu melalui alam maya ini. Ilmu yang saya ingin kongsi kali ini amat berguna untuk pelajar PMR dan SPM kerana frasa-frasa yang akan saya terangkan sering disoal dan diuji dalam PMR kertas 1 serta SPM kertas 2. 

Baiklah, adakah anda tahu perbezaan frasa-frasa berikut?
- Temu janji
- Temu bual
- Temu ramah
- Temu duga

Hakikatnya, kita tidak perlu menghafal maksud setiap frasa di atas. Cuma, fahamilah maksud perkataan yang hadir selepas perkataan ‘temu’.

Temu janji=> Pertemuan yang diadakan untuk melaksanakan sesuatu janji. Contohnya, frasa ini digunakan untuk pertemuan kita dengan teman wanita atau teman lelaki, di mana kita   berjanji untuk bertemu dan membelanjanya makan malam atau sebagainya.

Contoh ayat: Siti memarahi Amran kerana sering membatalkan temu janjinya pada minit-minit terakhir.

Temu bual=> Pertemuan yang diadakan untuk berbual secara terperinci tentang sesuatu perkara (insiden). Contohnya, frasa ini digunakan apabila wartawan sedang berbual dengan seseorang untuk mengetahui sesuatu insiden secara terperinci, bukannya untuk mengetahui tentang seseorang atau diri orang itu.

Contoh ayat: Wartawan Akhbar Sinar Harian itu sedang menemu bual pengurus besar syarikat Zikumi yang dipercayai menjadi dalang insiden pembunuhan salah seorang pekerja di syarikatnya itu.

Temu ramah=> Pertemuan yang diadakan untuk berbual secara ramah mengenai sesuatu perkara. Contohnya, frasa ini sering digunakan apabila wartawan sedang berbual dengan seseorang untuk mengetahui diri seseorang secara lebih mendalam atau mengenai sesuatu perniagaan.

Contoh ayat: Wartawan itu sedang menemu ramah atlet sukan yang berjaya meraih pingat emas pertama negara dalam Sukan Olimpik yang lalu.

Temu duga=> Pertemuan yang diadakan untuk memberi dugaan (cabaran) kepada seseorang. Contohnya, frasa ini digunakan apabila majikan sesebuah syarikat sedang menyoal seorang calon pekerjanya.

Contoh ayat: Temu duga secara terbuka di pasar raya besar itu berjaya menarik perhatian hampir 100 orang individu yang tidak mempunyai pekerjaan.

Selamat mencuba!!!

2 comments:

  1. Temu janji tak ada dalm kamus dewan tapi janji temu...kenapa temu di belakang sedangkan utk temu duga ..perkataan temu di hadapan

    ReplyDelete