Thursday 24 January 2013

Belajar Mengarang: Nombor atau Perkataan?

Pelajar sering keliru apabila mengemukakan fakta atau isu yang melibatkan nombor. Hal ini timbul apabila terdapat guru yang melarang penggunaan nombor dalam karangan dengan alasan "Skema pemarkahan tidak membenarkan penggunaan nombor dalam karangan."

Hakikatnya, skema pemarkahan tidak melarang pelajar menggunakan nombor dalam karangan. Namun begitu, pemeriksa kertas peperiksaan anda tidak melihat bahasa atau kemantapan ayat anda semata-mata, tetapi turut melihat tahap kemalasan anda.

Penggunaan nombor yang banyak dalam karangan akan menyebabkan pemeriksa menganggap anda malas dan kurang berminat untuk menulis karangan. Oleh sebab itulah, anda digalakkan menulis nombor dalam bentuk perkataan.

Walau bagaimanapun, jika anda merupakan seorang 'pakar' karangan yang sering menulis karangan sehingga saat-saat terakhir semasa peperiksaan, elakkan menulis nombor yang memerlukan anda menulis dengan lama. Namun begitu, janganlan terlampau malas sehingga menulis satu, dua atau tiga dalam bentuk nombor.

Saranan nombor yang patut anda tulis dalam bentuk perkataan:

- Satu hingga dua puluh
- Setiap nombor yang bermula dengan nombor selain sifar dan diikuti dengan digit sifar sahaja (tiga puluh, empat puluh, seratus, dua ratus, seribu, sembilan ribu, dua juta dan seterusnya)

Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment