Monday 24 September 2012

Contoh Karangan PMR: Implikasi Penggunaan Telefon Bimbit dalam kalangan Murid di Sekolah


Era digital ini, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan rakyat Malaysia semakin meningkat dari semasa ke semasa. Menurut Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, secara purata, seorang rakyat Malaysia kini memiliki dua buah telefon bimbit. Statistik tersebut jelas menunjukkan bahawa telefon bimbit sememangnya menjadi satu keperluan dalam kehidupan kita. Baru-baru ini, Kementerian Pelajaran Malaysia mengumumkan kebenaran kepada pelajar sekolah untuk membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun hadapan. Pengumuman tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan ibu bapa dan guru. Hal ini demikian kerana terdapat implikasi-implikasi negatif penggunaan telefon bimbit dalam kalangan murid di sekolah.

Pertama sekali, pembawaan telefon bimbit ke sekolah akan meningkatkan kes kecurian di sekolah. Pelajar-pelajar sekolah sering menjadikan telefon bimbit sebagai lambang status diri mereka. Oleh itu, kebanyakan pelajar suka membeli telefon bimbit yang berharga tinggi. Namun begitu, terdapat segelintir pelajar yang panjang tangan dan mengambil kesempatan ini untuk menjalankan ‘operasi’ mereka. Lebih membimbangkan lagi apabila terdapat pelajar yang sanggup mengugut dan merompak pelajar-pelajar yang lebih muda daripada mereka. Keadaan ini akan meningkatkan kes buli dan seterusnya membebankan guru-guru disiplin.

Selain itu, pembelajaran di dalam kelas juga akan terganggu jika pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Hal ini demikian kerana pelajar kni sering gemar menghantar pesanan melalui sistem pesanan ringkas malah ‘berbual’ dengan rakan-rakan mereka secara maya. Keadaan ini bertambah buruk apabila telefon bimbit dijadikan sebagai alat untuk meniru semasa peperiksaan. Pelajar akan bertukar jawapan melalui sistem pesanan ringkas (SMS) sesama rakan-rakan mereka. Lebih-lebih lagi, nota-nota ringkas boleh disimpan dalam bentuk gambar dalam telefon bimbit dan digunakan untuk meniru semasa peperiksaan. Maka, pembelajaran melalui sistem peperiksaan hanya sia-sia jika pelajar dibenarkan untuk membawa telefon bimbit ke sekolah. 

Di samping itu, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan murid di sekolah juga boleh menyebabkan mereka menyalahgunakannya untuk tujuan tidak berfaedah. Kepelbagaian teknologi telefon bimbit akan menyebabkan tunas-tunas yang baru sahaja mengenali dunia ini  mudah  terpengaruh dengan anasir negatif. Contohnya, pelajar-pelajar boleh memuat turun gambar-gambar lucah dan menyebarkannya dalam kalangan rakan-rakan mereka dengan hanya menekan beberapa butang. Bukan itu sahaja, malah sistem pesanan ringkas berantai pula akan memudahkan kegiatan gangsterisme dalam kalangan murid-murid sekolah. Keadaan ini seterusnya akan membantutkan usaha pelbagai pihak untuk melahirkan modal insan cemerlang untuk negara.

Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai implikasi penggunaan telefon bimbit dalam kalangan murid di sekolah. Oleh itu, pihak kerajaan harus menitikberatkan langkah membenarkan pembawaan telefon bimbit ke sekolah kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada gunaya. Persepsi ibu bapa dan guru perlu diutamakan supaya kepputusan yang tepat dapat diambil dalam jangka masa yang pendek. 
    


 



 





 

               

              

No comments:

Post a Comment