Friday 7 September 2012

Contoh Karangan PMR: Kepentingan Memelihara dan Memulihara Bangunan dan Tempat Bersejarah

Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, Malaysia sedang giat melaksanakan pelbagai pembangunan demi mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Mercu tanda negara yang serba moden seperti Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur telah dibina agar Malaysia dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain. Pada masa yang sama, pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan tidak pernah terlepas pandang terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan bangunan dan tempat bersejarah. Kota A' Famosa, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Menara Condong Teluk Intan merupakan antara contoh bangunan serta tempat bersejarah yang terkenal di Malaysia. Hakikatnya, terdapat pelbagai kepentingan khazanah negara yang tidak ternilai ini.

Pertama sekali, bangunan dan tempat bersejarah harus dipelihara dan dipulihara supaya sejarah tanah air tidak mudah hilang ditelan zaman. Hal ini demikian kerana bangunan bersejarah mampu menjadi bukti yang penting berlakunya sesuatu peristiwa pada masa lampau. Generasi muda kini lebih gemar melihat sendiri bukti sebenar sesuatu sejarah berbanding dengan membaca mengenainya dalam buku sahaja. Contoh jelas yang dapat kita lihat sehingga hari ini ialah bukti penjajahan Portugis terhadap Melaka. Tinggalan bangunan gereja dan kubu pertahanan mereka masih dapat dilihat di bandar raya bersejarah itu. Secara tidak langsung, apabila generasi muda melawat bangunan-bangunan bersejarah, mereka dapat mengetahui dan mempelajari sejarah Malaysia secara lebih mendalam.

Di samping itu, bangunan bersejarah juga penting untuk menyemai semangat patriotisme dalam kalangan generasi muda. Golongan belia yang merupakan insan kerdil ciptaan Tuhan bakal menjadi pemimpin negara pada masa hadapan. Namun begitu, kumpulan individu ini perlu dipupuk dengan rasa cinta akan Malaysia sejak mereka kecil lagi supaya kesetiaan mereka terhadap negara sentiasa kekal. Salah satu cara untuk berbuat demikian adalah dengan mempelajari dan menghayati sejarah negara. Generasi muda boleh mengetahui perjuangan tokoh-tokoh negara sebelum kemerdekaan tanah air dengan melawat tempat-tempat bersejarah. Misalnya, Bandar Hilir Melaka, Stadium Merdeka dan Dataran Merdeka yang telah menyaksikan peristiwa pengumuman tarikh dan pemahsyuran kemerdekaan mampu memberi kesedaran kepada golongan belia negara supaya sentiasa mempertahankan kebebasan Malaysia daripada penjajahan kuasa asing. Maka, keadaan inilah yang mampu melahirkan golongan muda yang bersemangat patriotik tinggi.

Seterusnya, bangunan bersejarah mampu menaikkan nama negara di persada antarabangsa. Pelbagai langkah sentiasa dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk mengekalkan bangunan bersejarah di Malaysia kerana ia mampu memberi sumbangan yang besar terhadap ekonomi negara. Bangunan-bangunan bersejarah sememangnya mampu menjadi tempat pelancongan yang menarik. Contohnya, Makam Mahsuri di Pulau Langkawi dan Candi di Lembah Bujang, Kedah senantiasa mendapat kunjungan puluhan ribu pelancong tempatan dan pelancong asing sepanjang tahun. Keadaan ini seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara apabila pelancong-pelancong tersebut sanggup berbelanja semata-mata untuk melihat tinggalan bangunan bersejarah. Lebih-lebih lagi, situasi ini akan turut mengharumkan nama negara. Georgetown, Pulau Pinang dan Melaka kini dikenali oleh masyarakat di seluruh dunia setelah diiktiraf sebagai Warisan Dunia oleh UNESCO. Oleh itu, benarlah bahawa kita harus memelihara dan memulihara bangunan serta tempat bersejarah.

Intihanya, semua pihak, terutamanya pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan harus berganding bahu ibarat ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni dan melaksanakan langkah-langkah kamil untuk memelihara dan memulihara bangunan serta tempat bersejarah di negara kita secara bersama kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Pemodenan tidak harus dijadikan alasan untuk memusnahkan warisan negara yang berharga ini. Oleh itu, kita harus mencontohi negara-negara asing seperti China dan Egypt yang telah menjadi negara membangun tanpa mengorbankan khazanah negara.

 

1 comment:

  1. nice information just keep give some information and thank you

    ReplyDelete