Monday, 17 September 2012

Contoh Karangan SPM: Faktor-faktor berlakunya jenayah pemerdagangan manusia dan langkah-langkah yang harus diambil untuk menanganinya


Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit satu masalah yang kian membimbangkan masyarakat dunia iaitu jenayah pemerdagangan manusia. Isu yang semakin berleluasa ini sering melibatkan golongan wanita dan kanak-kanak. Namun begitu, pendedahan pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) baru-baru ini menunjukkan bahawa golongan remaja turut dijadikan mangsa jenayah pemerdagangan manusia. Hal ini sungguh membimbangkan kerana situasi tersebut mampu menyebabkan gejala negatif yang lain turut menjadi serius. Misalnya, mangsa jenayah pemerdagangan manusia sering dijadikan sebagai pelacur, buruh paksa, hamba seks dan pengemis upahan. Malah, menurut Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, sebanyak dua puluh tujuh sindiket pemerdagangan manusia yang bergiat aktif di Malaysia berjaya ditumpaskan sepanjang enam bulan pertama tahun ini. Penumpasan sindiket-sindiket tersebut telah menyelamatkan ratusan individu yang menjadi mangsa mereka. Keadaan ini jelas menunjukkan bahawa jenayah pemerdagangan manusia sememangnya semakin serius dan perlu diatasi dengan segera. Hakikatnya, jenayah pemerdagangan manusia hanya boleh diatasi jika kita memahami faktor-faktor berlakunya jenayah tersebut.

Pertama sekali, kewujudan korupsi dan unsur rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan menyebabkan jenayah ini sukar ditangani. Sindiket pemerdagangan manusia sering memanfaatkan kewujudan pegawai kerajaan yang mudah dirasuah untuk memudahkan pelaksanaan modus operandi mereka. Misalnya, pegawai imigresen yang menjaga sempadan negara boleh dilepasi dengan mudah oleh ejen-ejen sindiket pemerdagangan manusia bersama mangsa mereka hanya dengan menghulurkan beberapa helai wang kertas lima puluh ringgit kepada mereka. Keadaan kini bertambah keruh apabila pegawai-pegawai kerajaan sendiri bertindak membantu sindiket pemerdagangan manusia. Contohnya, mereka mencari individu yang berpotensi untuk diperdagangkan dan menyerahkan insan-insan yang tidak berdosa itu kepada ejen pemerdagangan manusia. Hal ini amat menyedihkan kerana pihak yang patut memainkan peranan untuk mengatasi jenayah pemerdagangan manusia bertindak sebaliknya ibarat kata pepatah harapkan pagar, pagar makan padi. Maka, jenayah tersebut pasti sukar ditangani jika wujud pegawai-pegawai kerajaan yang berkorupsi.

Selain itu, jurang ekonomi antara negara-negara jiran turut menjadi faktor jenayah pemerdagangan manusia. Rakyat negara yang miskin sudah tentu ingin menambah baik taraf hidup mereka dengan apa jua cara yang mudah. Oleh itu, mereka memilih untuk bekerja di negara jiran yang lebih kaya tetapi kekurangan tenaga kerja. Namun begitu, terdapat pihak-pihak tertentu yang mengambil kesempatan terhadap mereka dengan menaburkan janji-janji manis seperti pekerjaan, tempat tinggal dan kehidupan yang lebih baik. Malangnya, selepas individu-individu tersebut dibawa ke luar negara, mereka dijual kepada pihak lain dan dijadikan hamba seks dan buruh paksa. Situasi ini terbukti berlaku apabila statistik Jabatan Siasatan Jenayah PDRM menunjukkan  hampir kesemua individu yang berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia berasal dari negara-negara jiran yang berpendapatan rendah seperti Myanmar, Vietnam dan Laos. Keadaan ini membuktikan bahawa jurang ekonomi antara negara-negara serantau turut menjadi faktor wujudnya jenayah pemerdagangan manusia.

Di samping itu, tahap kesedaran masyarakat terhadap isu pemerdagangan manusia yang rendah juga menyebabkan jenayah tersebut terus berleluasa. Masyarakat yang bersikap seperti katak di bawah tempurung menjadi punca yang memangkin kewujudan pelbagai jenayah merentasi sempadan. Masyarakat kini sering bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan tidak peka terhadap situasi di sekeliling mereka. Umpamaanya, terdapatkah individu pada hari ini yang melihat pengemis kanak-kanak cacat sanggup bersikap proaktif dan membawanya kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat? Keengganan masyarakat untuk mengambil tahu tentang isu semasalah menyebabkan situasi seperti ini berlaku. Lebih membimbangkan lagi apabila masyarakat mendiamkan diri meskipun tahu tetang kewujudan sindiket pemerdagangan manusia di kawasan tempat tinggal mereka. Misalnya, pihak PDRM berjaya menangkap seorang lelaki di sebuah rumah bersama tiga puluh orang wanita warganegara Vietnam yang dikurung di dalam sebuah bilik. Siasatan lanjut mendapati lelaki itu terlibat dengan sindiket pemerdagangan manusia sejak lima tahun yang lalu dan menjadikan rumahnya sebagai tempat menjalankan urusan sindiketnya itu. Sekiranya masyarakat di kawasan perumahan itu bersikap proaktif, pasti sindiket tersebut terbongkar lebih awal. Malangnya, sikap mereka yang kurang peka terhadap situasi di sekeliling memudahkan lelaki itu untuk menjalankan sindiketnya selama separuh dekad. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat yang mendiamkan diri akan menyebabkan jenayah pemerdagangan manusia terus melarat.

Faktor-faktor jenayah pemerdagangan manusia sememangnya sukar diatasi. Walau bagaimanapun, jika pihak kerajaan mewujudkan undang-undang yang dapat menjatuhkan hukuman yang lebih berat terhadap dalang sindiket pemerdagangan manusia, pasti jenayah tersebut dapat ditangani. Kejayaan Akta dadah Berbahaya dalam mengekalkan jumlah kes penyeludupan dadah pada tahap yang rendah harus dijadikan contoh untuk mewujudkan mekanisme yang sama demi mengurangkan kes pemerdagangan manusia. Hukuman penjara sahaja tidak memadai buat pesalah yang sanggup menjalankan urusan jual beli manusia. Hukuman mati mandatori patut dikenakan terhadap mereka supaya dapat menjadi pengajaran kepada masyarakat. Pada masa yang sama, pihak kerajaan perlu mewujudkan mekanisme yang tepat untuk menyifarkan kes rasuah dalam kalangan pegawai kerajaan. Jika kes rasuah dapat disifarkan, sudah tentu pelaksanaan undang-undang menjadi lebih berkesan sekali gus mengurangkan kes pemerdagangan manusia.
                Seterusnya, pemimpin-pemimpin negara serantau perlu bekerjasama untuk mengurangkan jurang ekonomi. Komuniti ASEAN yang bakal diwujudkan pada tahun 2015 patut dizahirkan kerana langkah tersebut diyakini mampu mengurangkan jenayah merentasi sempadan apabila negara-negara di Asia Tenggara menjalin kerjasama politik, ekonomi dan sosial. Sekiranya negara-negara serantau membangun secara serentak, keperluan rakyat sesebuah negara untuk bekerja di negara jiran akan berkurang. Secara tidak langsung, keadaan ini seterusnya akan mengurangkan pemerdagangan manusia.
Selain itu, masyarakat pula perlu bersikap proaktif dan melaporkan gerak-geri yang mencurigakan di sekeliling mereka. Mereka harus bekerjasama dan memastikan kawasan tempat tinggal mereka tidak dijadikan sebagai markas pemerdagangan manusia. Contohnya, Persatuan Rukun Tetangga perlu sentiasa menjalankan pelbagai langkah untuk membanteras perlakuan jenayah di kawasan perumahan mereka. Masyarakat tidak perlu takut untuk melaporkan jenayah pemerdagangan manusia kepad pihak berkuasa kerana identiti mereka akan dirahsiakan. Maka, sekiranya rakyat Malaysia bersikap proaktif, pasti jenayah pemerdagangan manusia mampu diatasi dengan mudah.

                Tuntasnya, sememangnya terdapat pelbagai faktor berlakunya jenayah pemerdagangan manusia dan pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk mengatasi jenayah tersebut. Namun begitu, langkah-langkah tersebut hanya akan membuahkan hasilnya jika pihak kerajaan dan masyarakat berganding bahu kerana sesungguhnya bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Semoga dengan penyifaran jenayah pemerdagangan manusia, kita dapat menzahirkan Wawasan 2020 dan duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara-negara lain di dunia.   

No comments:

Post a Comment