Wednesday 3 October 2012

Contoh Karangan PMR: Kesan-kesan buruk laman sesawang sosial

Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit satu masalah yang kian meruncing dalam rakyat Malaysia, iaitu ketagihan terhadap laman sesawang sosial. Menurut kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), secara purata, seorang rakyat Malaysia kini mempunyai 3 akaun laman sosial Facebook. Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia didapati mempunyai rakan Facebook teramai jika dibandingkan dengan pengguna-pengguna laman sosial itu di negara-negara yang lain. Bukan itu sahaja, malah menurut kajian yang sama, seorang rakyat di negara ini meluangkan masa selama sembilan jam dalam tempoh seminggu untuk melayari laman-laman sosial. Hasil kajian ini jelas menunjukkan bahawa 'ketagihan' rakyat Malaysia terhadap laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter semakin serius malah membimbangkan. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai kesan buruk laman sesawang sosial.

Pertama sekali, laman sesawang sosial akan menyebabkan pembaziran berlaku. Wang mengalir dengan begitu mudah apabila kita menggunakan laman sesawang sosial. Misalnya, kita terpaksa membayar bil internet dan bil elektrik yang lebih tinggi kerana menggunakan perkhidmatan tersebut untuk melayari alam maya yang kita gemari. Lebih menyedihkan lagi apabila masa kita yang amat berharga turut terbazir begitu sahaja di hadapan kaca komputer. Sekiranya hasil kajian SKMM mengenai jumlah jam yang diluangkan oleh seorang rakyat Malaysia untuk melayari laman-laman sosial adalah tepat, maka kita sedang membuang hampir 80 minit pada setiap hari. Ungkapan masa itu emas semakin dilupakan oleh rakyat Malaysia akibat terlalu fanatik dengan dunia maya. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia yang berhemat dan bijak menggunakan masa semakin 'hilang ditelan zaman'.

Di samping itu, laman sesawang sosial juga menyebabkan pelbagai gejala negatif berlaku. Hakikatnya, laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter merupakan satu bentuk penjajahan minda yang menyasarkan golongan muda. Insan kerdil ciptaan Tuhan ini sepatutnya berusaha melakukan anjakan paradigma terhadap negara. Malangnya, pengaruh internet, terutamanya laman sesawang sosial telah menjejaskan kekuatan mental remaja. Umpamanya, menerusi Facebook, golongan muda, khasnya perempuan gemar menyebarkan gambar-gambar diri mereka yang mencolok mata demi mendapatkan jumlah 'like' yang tinggi. Ugutan serta kegiatan buli turut sering dilakukan oleh remaja menerusi laman-laman sosial kerana mereka menganggap perbuatan tersebut tidak menyalahi undang-undang negara. Namun begitu, tanpa disedari oleh mereka, 'mangsa' mereka akan terganggu secara emosi sehingga melakukan perkara-perkara di luar jangkaan seperti bunuh diri.
Maka, impak laman sesawang sosial terhadap penggunanya, terutamanya remaja sungguh tinggi dan mampu membawa kemudaratan yang amat buruk.

Selain itu, negara turut menerima kesan buruk yang langsung akibat pengaruh laman sesawang sosial. Terdapat insiden-insiden yang telah menjejaskan keamanan negara kerana laman sosial. Misalnya, penganjur perhimpunan haram pada awal tahun ini telah menggunakan blog dan Facebook untuk menyebarkan maklumat-maklumat mengenai penganjuran aktiviti tersebut. Kesannya, ibu negara telah huru-hara selama hampir setengah hari. Peristiwa tersebut berulang pada malam menjelang sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-55 apabila pihak yang sama menggunakan Facebook sebagai wahana untuk mengajak rakyat Malaysia berhimpun secara haram di Dataran Merdeka. Situasi ini telah mencemarkan nama baik negara kita yang telah lama diukir sejak tahun 1957. Keadaan ini sesungguhnya membuktikan bahawa pengaruh laman sesawang sosial turut menjejaskan keamanan negara.

Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kesan buruk laman sesawang sosial. Oleh itu, pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan, pihak sekolah dan ibu bapa perlu berganding bahu dan melaksanakan langkah-langkah bersepadu untuk mendidik anak-anak muda supaya menggunakan laman sesawang sosial secara bijak. Jika laman sesawang sosial dimanfaatkan oleh golongan muda secara maksimum, pasti dunia maya itu tidak akan menyebabkan pengaruh negatif dalam kalangan mereka. Maka, tidak mustahil laman sesawang sosial mampu menjadi salah satu faktor pemangkin pembangunan negara sekali gus membantu dalam mencapai Wawasan 2020 dengan melahirkan rakyat Malaysia yang celik teknologi maklumat.   

No comments:

Post a Comment