Saturday 9 June 2012

Contoh Karangan PMR: Kesan-kesan Negatif Pembangunan Secara Tidak Terancang

Dewasa ini, pembangunan di Malaysia semakin rancak dilaksanakan oleh pelbagai pihak. Malah, kerajaan telah merangka dasar-dasar yang mampu menukar wajah Malaysia dalam mengejar Wawasan 2020. Malangnya, pihak yang melaksanakan pembangunan di Malaysia sering terlepas pandang impak-impak negatifnya. Hakikatnya, terdapat pelbagai kesan buruk pembangunan secara tidak terancang.

Pertama sekali, sektor pelancongan negara akan terjejas jika pembangunan yang dilaksanakan mengganggu keistimewaan di Malaysia. Pada hari ini, negara kita merupakan salah satu destinasi pelancongan utama di benua Asia. Hal ini terbukti apabila Malaysia berada di tangga ke-7 di Benua Asia dalam Indeks Pelancongan dan Perjalanan Dunia 2011. Namun begitu, sektor pelancongan pasti akan terjejas jika pembangunan dilaksanakan secara tidak terancang. Menurut Kementerian Pelancongan Malaysia, salah satu jenis pelancongan yang terkenal di Malaysia ialah eko-pelancongan. Sekiranya penerokaan hutan semakin berleluasa, sudah tentu pelancongan tersebut akan terjejas. Contohnya, bilangan pelancong di Cameron Hinglands semakin berkurang akibat penerokaan hutan yang menjadikan keadaan cuaca di kawasan pelancongan itu semakin panas. Keadaan yang sama berlaku di kawasan Hulu Langat, Selangor yang sering mengalami tanah runtuh akibat pembangunan yang tidak terkawal. Kesannya, pelancong tempatan mahupun pelancong asing tidak berani untuk melancong di kawasan tersebut. Keadaan seperti inilah yang akan terus berlaku jika pembangunan dilaksanakan secara tidak terancang dan seterusnya menjejaskan sektor pelancongan negara yang menjadi penyumbang utama kepada pendapatan dan ekonomi negara.

Selain itu, bencana alam juga akan berlaku akibat pembangunan secara tidak terancang. Hal ini demikian kerana pembinaan bangunan konkrit serta jalan tar akan menutup permukaan bumi dan menghalangnya daripada meresap air ke dalam tanah. Kesannya, tanah runtuh dan banjir kilat akan sentiasa berlaku. Misalnya, Kuala Lumpur sering mengalami banjir kilat, terutamanya semasa musim hujan. Keadaan ini disebabkan oleh sistem perparitan yang dibina di ibu negara tidak terancang dan kini, tidak mampu menampung air yang banyak. Situasi yang lebih berbahaya pula sering timbul di kawasan tanah tinggi. Pembinaan kawasan perumahan secara tidak terancang di Bukit Antarabangsa telah menyebabkan inisden tanah runtuh pada tahun 2008 sehingga menyebabkan 4 orang maut. Pada tahun lalu pula, satu kejadian tanah runtuh di Hulu Langat telah meranapkan Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa sehingga menyebabkan nyawa 16 orang penghuni madrasah tersebut melayang. Kejadian-kejadian ini sesungguhnya membuktikan pembangunan secara tidak terancang akan menjadi punca bencana alam yang berbahaya dan di luar jangkaan kita.

Di samping itu, lanskap fizikal sesebuah kawasan juga akan berubah. Perubahan lanskap fizikal ini akan membawa kesan untuk jangka masa yang panjang. Contohnya, pembinaan kondominium di Templer Park, Selangor telah mengubah lanskap hutan dan kawasan sekitarnya. Hal ini telah menyebabkan kawasan tadahan air di situ terjejas. Suhu di kawasan pelancongan Tanah Tinggi Genting dan Tanah Tinggi Cameron juga semakin meningkat dari tahun ke tahun akibat penerokaan hutan. Situasi yang sama berlaku di seluruh negara apabila suhu purata tahunan yang berada pada paras 27.1 darjah celcius pada tahun 2000 kini meningkat kepada 30.0 darjah celcius. Perubahan lanskap seperti ini tidak dapat dibaiki, malah akan menjadi semakin kritikal sekiranya pembangunan secara tidak terancang terus dilaksanakan.

Seterusnya, pelbagai spesies flora dan fauna di Malaysia pula akan terancam. Menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), perundangan sahaja tidak dapat mengurangkan ancaman terhadap hidupan liar di Malaysia kerana pembangunan yang dilaksanakan turut memberi impak terhadap populasi fauna. Pembangunan di Malaysia ternyata memberikan kesan negatif terhadap populasi pelbagai haiwan seperti harimau belang, gajah, badak cipan serta pelbagai jenis burung. Contohnya, populasi badak Sumatera semakin berkurang dan hanya 90 ekor spesies badak yang diancam kepupusan itu ditemui di seluruh Malaysia. Situasi yang sama berlaku terhadap spesies flora di negara kita. Rafflesia yang hanya terdapat di beberapa negara di seluruh dunia, termasuk Malaysia kini sukar ditemui. Terbaru, (FRIM) telah menggariskan dua jenis tumbuhan yang diancam kepupusan akibat pembangunan di Sarawak dan Selangor, iaitu Keruing Layang dan Merawan Kanching. Jika pembangunan di Malaysia terus dilakukan tanpa perancangan yang teliti, tidak mustahil generasi masa hadapan tidak dapat melihat keindahan flora dan fauna, termasuk Burung Kenyalang dan Bunga Raya!


Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kesan negatif pembangunan secara tidak terancang terhadap negara. Oleh sebab itu, semua pihak terutamanya ibu bapa, media massa, pihak sekolah dan pihak kerajaan harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi masing-masing demi menyemai kepentingan pembangunan secara terancang dalam diri generasi muda kerana sesungguhnya melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika hasrat ini berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju tanpa menyebabkan impak yang tidak diingini membelenggu negara. Semoga dengan penyelesaian masalah ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal di seantero dunia.



4 comments: