Wednesday 31 October 2012

Contoh Karangan SPM: Keburukan Penggunaan Kenderaan Bermotor

Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit satu persoalan yang sering menjadi perbualan masyarakat di seluruh dunia, iaitu implikasi sebenar penggunaan kenderaan bermotor. Kenderaan bermotor mula digunakan secara komersial sejak awal tahun 1990-an terutamanya di benua Eropah. Perkembangan industri automotif yang berlaku seiring dengan Revolusi Perindustrian telah menyebabkan kenderaan bermotor seperti kereta, kapal terbang, kapal berkuasa wap dan kereta api digunakan di seantero dunia. Kini, kenderaan bermotor menjadi salah satu keperluan masyarakat, terutamanya penduduk yang tinggal di kawasan bandar. Kesannya, penggunaan kenderaan bermotor semakin meningkat secara mendadak pada setiap hari. Malah, menurut Statistik Jabatan Pengangkutan Jalan Raya, hampir sepuluh ribu kenderaan bermotor yang baru telah didaftarkan di seluruh negara kita sepanjang tempoh sepuluh bulan pertama tahun ini. Sememangnya benar bahawa situasi ini menunjukkan taraf hidup masyarakat Malaysia semakin meningkat. Namun begitu, hakikatnya, kita tidak sedar bahawa peningkatan penggunaan kenderaan bermotor menyebabkan pelbagai kemudaratan kepada kehidupan seharian.

Pertama sekali, penggunaan kenderaan bermotor menyebabkan pencemaran alam sekitar. Hal ini demikian kerana bahan fosil yang digunakan sebagai bahan api untuk kenderaan bermotor melepaskan pelbagai bahan pencemar alam sekitar. Misalnya, kereta dan motosikal telah disenarai sebagai punca utama pencemaran udara kerana melepaskan asap yang mengandungi pelbagai bahan pencemar berbahaya seperti karbon monoksida, nikotin, karbon dioksida dan nitrogen oksida. Akibatnya, udara yang segar dan bebas daripada pencemaran semakin kotor. Keadaan ini seterusnya menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kepada manusia. Umpamanya, kandungan karbon monoksida yang tinggi dalam udara akan mengganggu sistem respiratori kita sehingga menyebabkan kematian dalam jangka masa yang panjang. Maka, terbuktilah bahawa secara tidak langsung, penggunaan kenderaan bermotor membawa masalah yang rumit terhadap alam sekitar dan hidup kita.

Selain itu, peningkatan penggunaan kenderaan bermotor akan turut menyebabkan bekalan bahan fosil semakin berkurang. Kita semua sedia maklum bahawa petroleum dan diesel merupakan bahan api utama kenderaan bermotor. Walaupun terdapat pelbagai jalan alternatif seperti kenderaan berkuasa elektrik dan pengangkutan awam, tetapi kebanyakan daripada kita masih memilih kenderaan persendirian sebagai pengangkutan harian yang utama. Kesannya, kini, bekalan petroleum dan diesel yang merupakan antara sumber bumi yang tidak boleh diperbaharui dijangka habis menjelang tahun 2050. Hal ini amat membimbangkan kerana jika bekalan bahan fosil tersebut habis, pelbagai indsutri yang amat bergantung terhadap penggunaan kenderaan bermotor akan lumpuh. Contohnya, industri pelancongan, industri perikanan dan kegiatan perdagangan tidak akan dapat dijalankan sama sekali. Keadaan ini sesungguhnya menunjukkan bahawa tahap kebergantungan kita yang tinggi terhadap kenderaan bermotor yang menggunakan sumber yang tidak boleh diperbaharui sebagai bahan api akan mengganggu ekonomi di seluruh dunia.

Di samping itu, kenderaan bermotor yang digunakan secara meluas dalam kalangan rakyat Malaysia juga menyebabkan timbulnya pelbagai gejala sosial yang serius. Golongan muda sememangnya berdarah panas dan sentiasa mempunyai semangat inkuiri yang tinggi. Hal ini menyebabkan mereka ingin mencuba perkara-perkara yang baru tanpa memikirkan impaknya terhadap diri mereka dan orang lain. Kini, insan kerdil ciptaan Tuhan ini sering menjadikan kenderaan bermotor sebagai 'alat mainan' bersama rakan-rakan mereka. Tamsilnya, kita dapat lihat puluhan remaja terlibat dengan perlumbaan motosikal dan kereta secara haram terutamanya di ibu negara. Lebih menyedihkan lagi apabila situasi ini menyebabkan nyawa tunas yang baru sahaja mengenali dunia melayang secara sia-sia akibat terlibat dalam kemalangan jalan raya semasa berlumba. Walaupun kita boleh menyalahkan ibu bapa, pihak kerajaan atau diri remaja itu sendiri sebagai punca utama berlakunya gejala ini, tetapi jika diteliti, kewujudan kenderaan bermotorlah yang sebenarnya membawa kepada keadaan tersebut. Oleh itu, sudah terang lagi bersuluh bahawa secara tidak langsung, kenderaan bermotor seperti kereta dan motosikal memangkin keruntuhan akhlak manusia.

Seterusnya, kos sara hidup kita turut meningkat akibat menggunakan kenderaan bermotor. Kos pembelian kereta, van dan motorsikal kini sangat tinggi malah mencecah puluhan ribu ringgit. Kos tersebut tidak berhenti di situ sahaja. Pada setiap tahun, kita perlu memperuntukkan sejumlah wang yang besar untuk kos bahan api dan kos penyelenggaraan kenderaan kita. Malah, secara anggaran, kita harus membelanjakan hampir RM 10, 000 setahun untuk kenderaan persendirian. Keadaan ini ditambah pula dengan kewujudan pihak yang sengaja mengambil kesempatan dengan mengenakan harga yang tinggi untuk membaiki sesuatu kerosakan kenderaan bermotor. Umpamanya, pihak pengusaha kedai membaiki kereta sengaja menaikkan harga tayar semasa musim perayaan untuk mengaut keuntungan yang lebih tinggi. Kesannya, kita terpaksa menghadapi perbelanjaan yang tidak tentu dan boleh berubah pada bila-bila masa secara mendadak.

Tuntasnya, sememangnya terdapat pelbagai kesan buruk penggunaan kenderaan bermotor. Oleh itu, pihak kerajaan seharusnya menggalakkan penyelidikan dan pembangunan untuk mencari jalan alternatif demi menggantikan penggunaan kenderaan bermotor. Pada masa yang sama, pihak yang menguruskan pengangkutan awam harus meningkatkan mutu perkhidmatan mereka untuk menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam dan meminimumkan pemilikan kenderaan persendirian. Pihak sekolah dan ibu bapa pula mestilah mendidik anak-anak yang masih muda tentang keburukan menggunakan kenderaan bermotor sejak mereka kecil lagi kerana sesungguhnya melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jika kita berjaya mengurangkan penggunaan kenderaan bermotor seperti di negara Jepun dan Singapura, tidak mustahil kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan mereka dan seterusnya menzahirkan Wawasan 2020.

Monday 8 October 2012

Tatabahasa: Penggunaan 'Ianya'

Kata ganti diri merupakan perkataan yang digunakan untuk 'menggantikan' diri. Misalnya, nama atau gelaran seseorang digantikan dengan perkataan tertentu seperti 'saya', 'kamu' dan 'dia'.

Kata ganti diri 'Ia' merupakan kata ganti diri pertama dan penggunaannya adalah sama seperti 'dia' kerana 'ia' merupakan singkatan kepada kata ganti diri 'dia'.

'-nya' pula merupakan singkatan 'dia' yang digunakan pada bahagian akhir perkataan. Sebenarnya, penggunaan 'Ianya' dalam Bahasa Malaysia adalah salah kerana perkataan sama maksud diulang sebanyak dua kali.

Penggunaan 'ianya' adalah sama seperti menggunakan 'akuku', iaitu menggabungkan kata ganti diri 'aku' dengan '-ku'. Maka, elakkan daripada menggunakan perkataan 'ianya'!!!

Selamat mencuba! 

Tatabahasa: Keruh atau Keroh?

Bahasa Malaysia merupakan satu bahasa yang sangat indah. Salah satu keunikan Bahasa Malaysia ialah kewujudan perkataan dengan ejaan yang seakan-akan sama.

Salah satu contoh perkataan yang mempunyai ejaan hampir sama ialah keruh dan keroh. 

Hakikatnya, perkataan keroh bukanlah perkataan Bahasa Melayu klasik seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak tetapi masih digunakan dalam Bahasa Malaysia.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat:

Keruh=> Tidak jernih, tidak cerah atau tidak menyenangkan.
Contoh ayat: Air sungai itu sangat keruh.

Keroh=> tidak jujur, curang.
Contoh ayat: Keretakan rumah tangga Datuk Abu berlaku akibat sikap keroh isterinya.

Oleh itu, cuba anda fahami contoh ayat berikut dan tentukan sama ada ayat tersebut betul atau sebaliknya.

Keadaan Sungai Gombak yang amat keroh itu berpunca daripada sikap warga kota yang membuang sampah ke dalam sungai tersebut.
Nota: Sungai tidak boleh berlaku curang. Oleh itu, ayat di atas salah. Keruh merupakan perkataan yang paptut digunakan dalam ayat di atas.

Selamat mencuba!!!

Wednesday 3 October 2012

Contoh Karangan PMR: Kesan-kesan buruk laman sesawang sosial

Era globalisasi yang sarat dengan pelbagai cabaran zahir dan maya ini, terbit satu masalah yang kian meruncing dalam rakyat Malaysia, iaitu ketagihan terhadap laman sesawang sosial. Menurut kajian Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), secara purata, seorang rakyat Malaysia kini mempunyai 3 akaun laman sosial Facebook. Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia didapati mempunyai rakan Facebook teramai jika dibandingkan dengan pengguna-pengguna laman sosial itu di negara-negara yang lain. Bukan itu sahaja, malah menurut kajian yang sama, seorang rakyat di negara ini meluangkan masa selama sembilan jam dalam tempoh seminggu untuk melayari laman-laman sosial. Hasil kajian ini jelas menunjukkan bahawa 'ketagihan' rakyat Malaysia terhadap laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter semakin serius malah membimbangkan. Hal ini demikian kerana terdapat pelbagai kesan buruk laman sesawang sosial.

Pertama sekali, laman sesawang sosial akan menyebabkan pembaziran berlaku. Wang mengalir dengan begitu mudah apabila kita menggunakan laman sesawang sosial. Misalnya, kita terpaksa membayar bil internet dan bil elektrik yang lebih tinggi kerana menggunakan perkhidmatan tersebut untuk melayari alam maya yang kita gemari. Lebih menyedihkan lagi apabila masa kita yang amat berharga turut terbazir begitu sahaja di hadapan kaca komputer. Sekiranya hasil kajian SKMM mengenai jumlah jam yang diluangkan oleh seorang rakyat Malaysia untuk melayari laman-laman sosial adalah tepat, maka kita sedang membuang hampir 80 minit pada setiap hari. Ungkapan masa itu emas semakin dilupakan oleh rakyat Malaysia akibat terlalu fanatik dengan dunia maya. Secara tidak langsung, rakyat Malaysia yang berhemat dan bijak menggunakan masa semakin 'hilang ditelan zaman'.

Di samping itu, laman sesawang sosial juga menyebabkan pelbagai gejala negatif berlaku. Hakikatnya, laman-laman sosial seperti Facebook dan Twitter merupakan satu bentuk penjajahan minda yang menyasarkan golongan muda. Insan kerdil ciptaan Tuhan ini sepatutnya berusaha melakukan anjakan paradigma terhadap negara. Malangnya, pengaruh internet, terutamanya laman sesawang sosial telah menjejaskan kekuatan mental remaja. Umpamanya, menerusi Facebook, golongan muda, khasnya perempuan gemar menyebarkan gambar-gambar diri mereka yang mencolok mata demi mendapatkan jumlah 'like' yang tinggi. Ugutan serta kegiatan buli turut sering dilakukan oleh remaja menerusi laman-laman sosial kerana mereka menganggap perbuatan tersebut tidak menyalahi undang-undang negara. Namun begitu, tanpa disedari oleh mereka, 'mangsa' mereka akan terganggu secara emosi sehingga melakukan perkara-perkara di luar jangkaan seperti bunuh diri.
Maka, impak laman sesawang sosial terhadap penggunanya, terutamanya remaja sungguh tinggi dan mampu membawa kemudaratan yang amat buruk.

Selain itu, negara turut menerima kesan buruk yang langsung akibat pengaruh laman sesawang sosial. Terdapat insiden-insiden yang telah menjejaskan keamanan negara kerana laman sosial. Misalnya, penganjur perhimpunan haram pada awal tahun ini telah menggunakan blog dan Facebook untuk menyebarkan maklumat-maklumat mengenai penganjuran aktiviti tersebut. Kesannya, ibu negara telah huru-hara selama hampir setengah hari. Peristiwa tersebut berulang pada malam menjelang sambutan Kemerdekaan Malaysia ke-55 apabila pihak yang sama menggunakan Facebook sebagai wahana untuk mengajak rakyat Malaysia berhimpun secara haram di Dataran Merdeka. Situasi ini telah mencemarkan nama baik negara kita yang telah lama diukir sejak tahun 1957. Keadaan ini sesungguhnya membuktikan bahawa pengaruh laman sesawang sosial turut menjejaskan keamanan negara.

Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kesan buruk laman sesawang sosial. Oleh itu, pelbagai pihak terutamanya pihak kerajaan, pihak sekolah dan ibu bapa perlu berganding bahu dan melaksanakan langkah-langkah bersepadu untuk mendidik anak-anak muda supaya menggunakan laman sesawang sosial secara bijak. Jika laman sesawang sosial dimanfaatkan oleh golongan muda secara maksimum, pasti dunia maya itu tidak akan menyebabkan pengaruh negatif dalam kalangan mereka. Maka, tidak mustahil laman sesawang sosial mampu menjadi salah satu faktor pemangkin pembangunan negara sekali gus membantu dalam mencapai Wawasan 2020 dengan melahirkan rakyat Malaysia yang celik teknologi maklumat.