Pelajar masa kini sering menghadapi dilema dalam hidup mereka kerana terlalu diberi penekanan agar mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Mereka sering dibebani dengan tugasan serta kerja rumah yang banyak dan diasak dengan kelas tambahan. Di samping itu, terdapat pula ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen demi memastikan insan kerdil ciptaan Tuhan ini dapat menguasai setiap mata pelajaran yang akan diambil dalam peperiksaan. Masa untuk pelajar bermain dan merehatkan minda semakin terhad. Lebih menyedihkan lagi apabila masa untuk pengisian rohani juga terabai.
Perkataan 'letih' dan 'penat' sering diluahkan oleh setiap pelajar pada masa kini. Hal ini dipercayai berpunca daripada pelbagai beban serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan secara sempurna oleh mereka. Malah, tekanan perasaan dan emosi pelajar sering terganggu akibat kekangan masa yang kurang mencukupi untuk akademik dan perkara-perkara yang lain. Hakikatnya, pelajar kini mempunyai pelbagai masalah dalam menghadapi kehidupan seharian mereka.
Pertama sekali, pelajar sering menghadapi dilema apabila diberi tekanan yang melampau untuk mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan. Keadaan ini berpunca daripada sikap ibu bapa dan guru yang sering menjadikan pencapaian akademik sebagai parameter utama kecemerlangan seseorang pelajar. Impaknya, pelajar terpaksa meminggirkan bidang kokurikulum serta aktiviti lain yang diminati oleh mereka. Masalah ini turut dilihat sebagai punca pelajar menghidap penyakit tekanan darah tinggi pada usia yang muda.
Selain itu, pelajar kini juga dibebani tugasan dan kerja rumah yang terlalu banyak dan dihimpit pula dengan kelas tambahan. Aktiviti di sekolah yang sudah cukup melesukan menjadi lebih 'kritikal' apabila tugasan yang diberikan perlu disiapkan dengan segera. Keadaan ini menjadi lebih keruh apabila guru-guru di sekolah memberikan kerja rumah dengan sebab ingin meningkatkan kecemerlangan pelajar. Malangnya, beban kerja rumah yang terlalu banyak hanya menyebabkan pelajar penat dan mengalami kesukaran untuk 'menyerap' perkara yang dipelajari. Jika situasi yang sedia ada sudah cukup meletihkan, sudah pasti kelas-kelas tambahan dan tuisyen tidak mampu menunjukkan keberhasilannya yang positif.
Di samping itu, masa untuk pelajar bermain dan merehatkan minda pula semakin berkurang. Masalah ini akan menyebabkan pelajar mengabaikan aktiviti di luar kelas. Pengabaian terhadap aktiviti riadah akan menjadi punca pelajar menghidap pelbagi penyakit yang berbahaya. Lebih membimbangkan lagi apabila pelajar tidak mempunyai masa untuk merehatkan fikiran. Akibatnya, mereka tidak akan dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran di kelas. Kesan berantainya, prestasi pelajar dalam akademik akan menurun.
Seterusnya, pengisian rohani dalam diri pelajar turut terabai. Realitinya, amalan-amalan kerohanian amat penting demi melahirkan pelajar yang berakhlak mulia. Namun begitu, jika pengisian rohani diabaikan, pasti pelajar yang berdisiplin sukar dibentuk. Secara tidak langsung, gejala sosial dalam kalangan pelajar akan menjadi serius dan tidak dapat dibendung. Maka, masalah pelajar yang dibebani dengan pelbagai tanggungjawab sehingga mengabaikan pengisian rohani sudah tentu menyebabkan hasrat negara untuk melahirkan generasi muda yang berakhlak mulia gagal.
Intihanya, pelajar masa kini sememangnya mempunyai pelbagai masalah. Lebih memburukkan keadaan apabila masalah-masalah tersebut menyumbang kepada dilema dalam kalangan pelajar. Oleh itu, ibu bapa dan pihak sekolah harus berganding bahu dan mencari jalan penyelesaian secara bersama untuk membantu pelajar menghadapi masalah dalam kehidupan kini kerana bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jika langkah ini dilaksanakan, pasti modal insan yang cemerlang dapat dilahirkan untuk masa hadapan negara dan sekali gus menzahirkan Wawasan 2020.
No comments:
Post a Comment