Wednesday 30 May 2012

Tatabahasa: Imbuhan 'memper-'

Pelajar sering keliru dengan penggunaan dua atau tiga imbuhan dalam satu perkataan pada masa yang sama. Contoh:

Memperdalam atau memperdalamkan?
Memperluas atau memperluaskan?
Memperlebar atau memperlebarkan?
Mempersembah atau mempersembahkan?
Memperlekeh atau memperlekehkan?

Sebenarnya, mudah sahaja untuk mengetahui sama ada anda menggunakan imbuhan 'memper-' secara tepat atau sebaliknya. Imbuhan 'memper-' terdiri daripada dua imbuhan (mem- dan per-) dan digunakan untuk menggambarkan situasi yang lebih tinggi daripada keadaan sedia ada. Contoh:

Memperlebar=> Keadaan sedia ada yang sudah lebar dilebarkan lagi.
Pihak kerajaan sedang memperlebar lebuh raya persekutuan untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
(Lebuh raya persekutuan yang sedia ada lebar dilebarkan lagi).

Baik, adakah kedua-dua perkataan 'memperlebar' dan 'memperlebarkan' boleh digunakan dalam Bahasa Malaysia? Jawapannya, tidak!

Undang-undang Bahasa Malaysia yang perlu anda patuhi ialah:
=> Kata adjektif tidak boleh menerima lebih daripada dua imbuhan.

Jadi, 'lebar' merupakan kata adjektif. Oleh itu, perkataan tersebut tidak boleh menerima lebih daripada dua imbuhan. Maka, perkataan 'memperlebarkan' adalah salah dalam Bahasa Malaysia kerana perkataan tersebut mempunyai tiga imbuhan (mem-, per-, -kan).

Memperdalam atau memperdalamkan?
Jawapan: Memperdalam (Dalam=> kata adjektif)

Memperluas atau memperluaskan?
Jawapan: Memperluas (Luas=> kata adjektif)

Memperlebar atau memperlebarkan?
Jawapan: Memperlebar (Lebar=> kata adjektif)

=>Kata kerja pula boleh menerima tiga imbuhan.

Mempersembah atau mempersembahkan?
Jawapan: Mempersembahkan (Sembah=> kata kerja)

Memperlekeh atau memperlekehkan?
Jawapan: Memperlekehkan (Lekeh=> kata kerja)

Selamat mencuba!

Tatabahasa: Imbuhan Apitan

Imbuhan apitan bermaksud imbuhan yang hadir di hadapan dan di belakang sesuatu perkataan pada masa yang sama. Contoh:

Meng-ke tepi-kan=> mengenepikan


Men-jalan-i=> Menjalani


Terdapat satu undang-undang bahasa yang perlu anda patuhi untuk menggunakan imbuhan ini secara betul. Sebelum ini, saya telah menyenaraikan 15 kata majmuk yang perlu didekatkan. (Sila lihat post bertajuk 'Tatabahasa: Kata majmuk dan penggunaan awalan pinjaman'). Selain kata-kata majmuk tersebut, jika anda menggunakan imbuhan apitan untuk dua patah perkataan pada masa yang sama, anda perlu turut mendekatkan kedua-dua perkataan tersebut. Contoh:

Meng-ke tepi-kan => Mengenepikan (Perkataan 'ke' dan 'tepi' didekatkan)
Meny-satu padu-kan => Menyatupadukan (Perkataan 'satu' dan 'padu' didekatkan)

Selamat mencuba!

Tatabahasa: Penggunaan imbuhan 'menge-'

Calon SPM dan PMR sering menghadapi masalah untuk menggunakan imbuhan secara tepat dan betul dalam Bahasa  Malaysia. Salah satu imbuhan yang selalu menjadi soalan popular dalam PMR ialah imbuhan 'menge-'.

Imbuhan menge- hanya digunakan untuk perkataan dengan satu suku kata. Contoh:

Ya=> mengeyakan
(Untuk maklumat semua, perkataan 'mengiakan' sudah tidak diganakan lagi)

Lap=> mengelap

Pam=> mengepam

Mungkin ada di antara anda yang menyoal penggunaan imbuhan 'menge-' untuk perkataan bersuku kata lebih daripada satu. Contoh:

mengenepikan

Namun begitu, sebenarnya, kata dasar perkataan di atas ialah ke tepi, bukannya tepi. Oleh itu, imbuhan sebenar yang digunakan untuk perkataan di atas ialah meng-. Cuba anda tanya guru anda jika terjumpa perkataan yang mengelirukan seperti di atas.

Selamat mencuba! 

Tatabahasa: Baharu dan Baru

Perkataan baharu dan baru mempunyai perbezaan dari segi penggunaannya.

Perkataan baharu digunakan untuk menggambarkan sifat sesebuah objek. Contoh:

Ibu saya telah membeli sepasang anting-anting yang baharu. (Perkataan baharu dalam ayat ini menggambarkan sifat anting-anting.)

Bapa saya ingin membuat sebuah rak kasut yang baharu. (Perkataan baharu dalam ayat ini menggambarkan sifat rak kasut.)

Perkataan baru pula digunakan untuk menggambarkan masa. Contoh:

Amran baru pulang dari sekolah. (Perkataan baru dalam ayat ini menggambarkan keadaan Amran yang pulang dari sekolah dalam masa terdekat yang lalu.)

Salah seorang atlet Malaysia baru sahaja meraih satu pingat emas dalam Sukan Komanwel. (Perkataan baru dalam ayat ini menggambarkan keadaan atlet Malaysia yang telah meraih pingat emas dalam masa terdekat yang lalu.)

Cuba lihat contoh ayat di bawah:

Pengantin lelaki itu baru sahaja meninggalkan rumahnya dan menuju ke tempat perkahwinan dengan menaiki sebuah kereta yang baharu.
(Perkataan baru menggambarkan pengantin lelaki yang meninggalkan rumahnya dalam masa terdekat yang lalu sementara perkataan baharu menggambarkan sifat keretanya.)

Selamat mencuba!!!

Monday 28 May 2012

Contoh Karangan SPM: Kebaikan Sektor Perindustrian kepada Negara

Menjelang tahun 2020, Malaysia berhasrat untuk menjadi sebuah negara yang maju. Demi merealisasikan hasrat ini, pihak kerajaan sentiasa berusaha untuk menjana ekonomi negara. Salah satu sektor yang mampu memberikan impak yang besar terhadap ekonomi negara ialah sektor perindustrian. Sektor ini bukan sahaja dapat memajukan ekonomi Malaysia, malah turut mampu menaikkan imej negara. Hakikatnya, langkah memajukan sektor perindustrian amat mustahak kerana terdapat pelbagai kebaikan sektor tersebut terhadap negara.

Pertama sekali, sektor perindustrian dapat meningkatkan pendapatan negara. Hal ini demikian kerana aliran wang masuk ke dalam negara dapat ditingkatkan apabila negara mengeksport barangan perindustrian ke luar negara. Barangan industri juga boleh dijual dengan harga yang jauh lebih tinggi berbanding dengan barangan sektor lain. Misalnya, pengusaha barangan elektrik dapat mengaut keuntungan yang lebih banyak berbanding dengan individu yang terlibat dengan bidang pertanian. Pada masa yang sama, pendapatan kerajaan turut meningkat apabila lebih ramai pengusaha bidang perindustrian membayar cukai. Maka, secara tidak langsung, ekonomi negara menyumbang kepada pendapatan negara.

Selain itu, sektor perindustrian turut mampu membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. Peluang pekerjaan semakin bertambah apabila lebih banyak bidang perindustrian diterokai di negara kita. Lebih-lebih lagi, penduduk luar bandar turut mendapat manfaat daripada bidang perindustrian. Contohnya, industri kecil dan sederhana seperti industri pembuatan tembikar, perusahaan keropok lekor dan perusahaan kraf tangan dapat membuka peluang pekerjaan untuk penduduk di luar bandar dan sekali gus meningkatkan pendapatan mereka. Keadaan ini dapat mengikis kehidupan kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. Hal ini jelas menunjukkan bahawa taraf hidup rakyat boleh ditingkatkan secara menyeluruh dengan adanya sektor perindustrian.

Di samping itu, sektor perindustrian boleh memajukan sektor pertanian. Kemajuan bidang perindustrian turut dapat merangsang perkembangan sektor pertanian. Umpamanya, penggunaan jentera moden membuka peluang kepada para petani untuk mengurangkan keperluan tenaga manusia serta meningkatkan tahap produktiviti mereka. Tambahan pula, kebanyakan bidang perindustrian memerlukan hasil sektor pertanian sebagai bahan mentah. Sebagai contoh, perusahaan ladang kelapa sawit semakin bertambah apabila industri pembuatan minyak kelapa sawit berkembang ekoran permintaannya yang semakin meningkat. Keperluan getah asli dalam industri pembuatan tayar di seluruh dunia pula meningkatkan perusahaan ladang pokok getah. Secara tidak langsung, situasi ini dapat menyumbang kepada pengeksportan bahan-bahan pertanian. Hal inilah yang memangkin perkembangan sektor pertanian.

Seterusnya, kemajuan sektor perindustrian turut mampu meningkatkan imej negara kita di persada dunia. Kemajuan dalam sesebuah bidang perindustrian membolehkan kita bersaing dengan negara-negara di seluruh dunia. Contohnya, penciptaan kereta nasional pertama pada tahun 1980-an dan perkembangan bidang tersebut sehingga hari ini meningkatkan persaingan jenama kereta nasional dengan jenama-jenama kereta yang lain. Lebih menggembirakan lagi apabila budaya negara kita dapat diperkenalkan kepada masyarakat di luar negara melalui bidang perindustrian. Misalnya, batik Tom Abang Saufi yang menggambarkan keunikan masyarakat Malaysia mendapat pasaran yang luas di benua Eropah dan Tanah Arab. Keadaan ini dapat diibaratkan sebagai sambil menyelam minum air kerana bidang perindustrian tempatan dan imej negara dapat ditingkatkan pada masa yang sama. Maka, situasi ini pasti menjadikan negara kita lebih terkenal pada pandangan mata masyarakat dunia.


Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kebaikan sektor perindustrian terhadap negara. Oleh sebab itu, semua pihak, terutamanya media massa, pihak kerajaan dan badan-badan bukan kerajaan harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi masing-masing demi menggalakkan lebih ramai rakyat Malaysia terlibat dalam bidang perindustrian. Jika hasrat ini berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan pencapaian hasrat ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal di seantero dunia.

Tatabahasa: Kata Majmuk dan Penggunaan Awalan Pinjaman

Tahukah anda, hanya terdapat lima belas kata majmuk yang boleh didekatkan dalam Bahasa Malaysia?

=> Warganegara
=> Antarabangsa
=> Beritahu
=> Tanggungjawab
=> Kakitangan
=> Jawatankuasa
=> Suruhanjaya
=> Bumiputera
=> Setiausaha
=> Pesuruhjaya
=> Matahari
=> Olahraga
=> Kerjasama
=> Sukarela
=> Tandatangan

Adakah anda sedang mengeluh,"Bahasa Malaysia pun nak hafal macam-macam. Menyusahkan betul!". Sabar. Cuba anda baca 'ayat' di bawah:

i) Warganegara antarabangsa beritahu tanggungjawab kakitangan jawatankuasa suruhanjaya bumiputera.


ii) Setiausaha pesuruhjaya olahraga negeri Matahari bekerjasama secara sukarela dan tandatangan. 


Mudah jika anda menghafal perkataan di atas dalam bentuk ayat.

*Terdapat pengecualian untuk perkataan berikut:
=> Apabila
=> Iaitu

Anda tidak boleh menjarakkan kata-kata majmuk di atas. Pada masa yang sama, perkataan yang lain pula tidak boleh didekatkan. Contoh perkataan yang sering ditulis dengan cara yang salah ialah:

=> Komputerriba (Sepatutnya=> komputer riba)
=> Samada (Sepatutnya=> Sama ada)
=> Walaubagaimanapun (Sepatutnya=> Walau bagaimanapun)
=> Urusetia (Sepatutnya=> Urus setia)

Peraturan tatabahasa ini hanya diguna pakai untuk kedua-dua perkataan yang mempunyai maksud masing-masing. Misalnya, mata (eyes) dan hari (days) digabungkan menjadi matahari (sun). Namun begitu, perkataan yang menerima awalan pinjaman perlu didekatkan.

Contoh kata awalan pinjaman:

anti-
dwi-
pro-
ko-
pra-
ke-

Tanda sekang (-) perlu digunakan jika kata awalan pinjaman ini disertai dengan:
i) perkataan yang bermula dengan huruf besar; atau 
ii)berbentuk nombor. 

Contoh:

=> proaktif (tidak perlu sekang kerana perkataan 'aktif'' bermula dengan huruf kecil)
=> pro-Barat (perlu sekang kerana perkataan 'Barat' bermula dengan huruf besar)

=> kedua (tidak perlu sekang kerana perkataan 'dua' bermula dengan huruf kecil)
=> ke-2 (perlu sekang kerana '2' berbentuk nombor)

* Penggunaan kata majmuk serta penggunaan tanda sekang sering diperhatikan oleh pemeriksa kertas soalan SPM dan PMR. Oleh itu, calon PMR dan SPM perlulah mahir dan menyifarkan kesalahan penggunaan kata majmuk dan kesalahan penggunaan tanda sekang.

Selamat mencuba! 



Contoh Karangan SPM: Kepentingan Rakyat Menghayati Rukun Negara

Malaysia merupakan sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat majmuk. Identiti negara kita terserlah melalui pelbagai kemajuan dalam pelbagai aspek. Hakikatnya, penghayatan terhadap prinsip-prinsip Rukun Negara mampu meletakkan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang disegani di persada dunia. Lima prinsip Rukun Negara, iaitu, Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan seharusnya dijunjung oleh rakyat Malaysia pada setiap masa. Terdapat pelbagai kepentingan rakyat menghayati Rukun Negara.

Prinsip Rukun Negara yang pertama; Kepercayaan kepada Tuhan; menjadi asas kepada pembentukan identiti Malaysia. Hal ini demikian kerana pengwujudan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu bermula dengan kepercayaan terhadap Tuhan. Malah, sahsiah diri setiap insan dapat dibentuk hanya jika individu tersebut mempercayai kewujudan Tuhan. Sememangnya tidak dapat dinafikan bahawa ajaran setiap agama di Malaysia berbeza dan mempunyai keistimewaan yang berlainan. Namun begitu, jika diteliti, ternyata ajaran setiap agama menjurus kepada pembentukan manusia yang sempurna, terutamanya dari segi rohani dan sahsiah diri. Maka, sekiranya hendak melahirkan masyarakat Malaysia yang bersahsiah unggul, kita harus mengamalkan prinsip Kepercayaan kepada Tuhan.

Seterusnya, prinsip kedua Rukun Negara ialah Kesetiaan kepada Raja dan Negara. Walaupun prinsip pertama Rukun Negara berasaskan pengamalan serta penerapan kepercayaan terhadap Tuhan, tetapi prinsip kedua pula adalah berdasarkan kepatuhan yang berkekalan kepada raja dan negara. Prinsip ini seharusnya disemai dalam diri setiap rakyat Malaysia supaya keamanan, keselamatan serta kedamaian negara kita sentiasa terpelihara. Kesetiaan kepada raja amat penting demi mempertahankan warisan kesultanan di negeri-negeri Melayu sejak sebelum era kemerdekaan. Pada masa yang sama, kita perlu mencurahkan taat setia kita terhadap negara demi mengelakkan keganasan serta keadaan yang tidak diingini  berlaku di Malaysia. Situasi ini membuktikan betapa pentingnya penghayatan terhadap prinsip kedua Rukun Negara.

Prinsip Rukun Negara yang ketiga berbunyi Keluhuran Perlembagaan. Pemimpin Malaysia sentiasa menyeru rakyat Malaysia agar perlembagaan Malaysia dipertahan dan tidak dipertikai oleh mana-mana pihak dalam apa jua keadaan. Prinsip ini penting kerana perlembagaan Malaysia menjamin kedudukan setiap warganegara Malaysia tanpa mengira kaum mahupun bangsa. Walaupun perlembagaan Malaysia meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi, tetapi agama-agama lain masih boleh dianuti oleh penduduk di Malaysia. Begitu juga dengan pelbagai aspek lain seperti bahasa rasmi negara serta ketuanan masyarakat Melayu. Kebebasan setiap aspek tersebut masih terpelihara dan disebut dengan jelas dalam perlembagaan Malaysia. Oleh itu, kemurniaan perlembagaan Malaysia sememangnya penting dan bertepatan dengan prinsip Rukun Negara yang ketiga.

Prinsip Rukun Negara yang keempat dan kelima pula ialah Kedaulatan Undang-undang serta Kesopanan dan Kesusilaan. Para sejarawan sememangnya menegaskan bahawa ketamadunan sesebuah masyarakat tidak harus diukur berdasarkan pencapaian lahiriah semata-mata, tetapi harus disertai dengan pencapaian rohaniah dan kesusilaan yang tinggi. Oleh itu, wujudlah prinsip Rukun Negara yang keempat dan kelima. Sejarah Tamadun China membuktikan bahawa masyarakat yang sempurna hanya dapat diwujudkan melalui undang-undang. Pada masa yang sama, keharmonian dan perpaduan masyarakat di Malaysia hanya dapat dipelihara jika setiap rakyat di negara ini bersopan-santun, berbudi bahasa dan bertoleransi. Maka, suasana harmoni di negara kita dapat dikekalkan sekiranya kita mengamalkan undang-undang dan etika-etika yang positif. Keadaan ini sesungguhnya membuktikan kepentingan kedua-dua Prinsip Rukun Negara yang terakhir.


Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai kemaslahatan rakyat Malaysia untuk menghayati Rukun Negara. Oleh sebab itu, semua pihak, terutamanya ibu bapa, media massa, pihak sekolah dan pihak kerajaan harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi masing-masing demi memastikan generasi muda kini faham dan mengamalkan kelima-lima prinsip Rukun Negara. Jika hasrat ini berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan pencapaian hasrat ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal di seantero dunia.

Contoh Karangan SPM: Langkah-langkah mengatasi Masalah Vandalisme dalam kalangan Pelajar

Era digital ini, kepentingan melahirkan generasi muda yang cemerlang untuk masa hadapan negara semakin meningkat. Malangnya, gejala sosial dalam kalangan pelajar yang kian meruncing membimbangkan semua pihak. Menurut kajian Kementerian Pelajaran Malaysia, salah satu daripada lapan gejala salah laku pelajar yang semakin menjadi-jadi kini ialah masalah vandalisme. Aktiviti vandalisme, atau kegiatan merosakkan harta benda awam bukan sahaja merugikan pelbagai pihak, malah turut menjejaskan imej negara kita. Oleh itu, langkah-langkah untuk mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan pelajar perlu dilaksanakan dengan segera.

Pertama sekali, ibu bapa harus menjalankan peranan penting dalam menyifarkan masalah vandalisme. Mereka perlu memantau kegiatan anak-anak mereka supaya tidak terjerumus ke dalam kancah yang negatif. Bukan itu sahaja, malah pergaulan anak-anak juga patut diawasi agar tidak melakukan kesilapan dalam memilih rakan. Lebih-lebih lagi, ibu bapa harus menyemai ilmu keagamaan dalam diri anak-anak sejak kecil lagi kerana sesungguhnya, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Hal ini demikian kerana ilmu keagamaan mampu menjadi benteng utama dalam menghalang generasi muda daripada terpengaruh dengan anasir-anasir negatif seperti kegiatan vandalisme. Jika ibu bapa melaksanakan peranan mereka dengan sempurna, pasti masalah vandalisme dapat diatasi dengan mudah.

Selain itu, masyarakat juga perlu memainkan tanggungjawab mereka demi menangani masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Sebagai seorang ahli masyarakat, kita harus peka terhadap situasi di sekeliling kita. Contohnya, jika terlihat perlakuan vandalisme, kita patut melaporkannya kepada pihak berkuasa. Pendek kata, kita tidak patut bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Maka, sekiranya masyarakat bersikap proaktif, pasti kegiatan vandalisme mampu dikurangkan.

Seterusnya, pihak berkuasa turut mempunyai peranan yang penting dalam mengatasi masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Hakikatnya, undang-undang kini hanya seperti melukut di tepi gantang kerana tidak mampu menunjukkan impak yang signifikan dalam menangani gejala negatif dalam kalangan pelajar. Menyedari realiti ini, pihak berkuasa perlulah menggubal undang-undang supaya hukuman yang lebih berat dijatuhkan terhadap si pelaku vandalisme. Pada masa yang sama, pihak polis harus menjalankan pemantauan yang lebih kerap dan ketat di kawasan yang berpotensi tinggi berlakunya kegiatan vandalisme. Jika langkah-langkah ini dilaksanakan dengan segera, sudah tentu masalah vandalisme boleh disifarkan dalam kalangan pelajar.

Di samping itu, pihak sekolah patut melaksanakan peraturan sekolah secara lebih tegas terhadap pelajar. Mereka harus mendenda pelajar yang melakukan vandalisme di dalam kawasan sekolah. Misalnya, pelajar yang terlibat dengan vandalisme perlu dirotan atau dikenakan hukuman gantung sekolah. Tindakan ini dapat menginsafkan pelajar yang terlibat dan mampu menjadi pengajaran kepada pelajar-pelajar yang lain. Pihak sekolah juga harus mengenepikan sikap pilih kasih semasa mengenakan tindakan terhadap pelajar yang terlibat dengan vandalisme. Langkah ini bukan sahaja mampu menangani masalah vandalisme, tetapi turut dapat mengurangkan masalah-masalah disiplin yang lain.


Intihanya, sememangnya terdapat pelbagai langkah yang boleh dilaksanakan untuk menangani masalah vandalisme dalam kalangan pelajar. Oleh sebab itu, semua pihak, terutamanya ibu bapa, masyarakat, pihak kerajaan dan pihak sekolah harus berganding bahu dan melaksanakan obligasi masing-masing demi mengurangkan gejala yang semakin serius ini. Jika hasrat tersebut berjaya dilaksanakan, tidak mustahil negara kita dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara-negara maju. Semoga dengan penyelesaian masalah ini, negara kita mampu merealisasikan Wawasan 2020 dan terkenal di seantero dunia.



Sunday 27 May 2012

Contoh Karangan SPM: Langkah-langkah menggalakkan penggunaan Tali Pinggang Keledar Belakang

Sejak akhir-akhir ini, kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat secara drastik. Kajian Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mendapati 53.3% daripada pengguna yang terlibat dalam kemalangan jalan raya pada tahun 2011 sehingga mengalami kecederaan parah atau maut ialah penumpang kenderaan yang duduk di bahagian belakang. Berikutan itu, pihak kerajaan telah mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar belakang demi mengatasi masalah tersebut. Malangnya, kesedaran pengguna jalan raya untuk mematuhi peraturan baru ini masih rendah. Oleh itu, pelbagai pihak perlu menggiatkan usaha menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar belakang.

Pertama sekali, pihak kerajaan harus menganjurkan kempen kesedaran. Kempen-kempen tersebut harus menyasarkan golongan muda kerana sesungguhnya melentur buluh biarlah dari rebungnya. Kempen kesedaran yang dilaksanakan perlulah disertai dengan usaha yang kamil supaya kempen tersebut mencapai objektifnya. Pada masa yang sama, adalah lebih baik jika kempen yang dianjurkan oleh pihak kerajaan berbentuk praktikal. Contohnya, usaha pihak kerajaan tidak harus dihadkan kepada ceramah semata-mata, tetapi perlu menggunakan kaedah yang berbeza seperti memaparkan gambar-gambar kemalangan jalan raya dan membuat simulasi kemalangan yang mampu menyampaikan mesej supaya pengguna jalan raya memakai tali pinggang keledar belakang. Jika kempen kesedaran yang menyeluruh seperti ini dilaksanakan, pasti usaha menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar belakang berjaya.

Selain itu, media massa pula haruslah menyiarkan lebih banyak iklan yang dapat memberikan mesej tentang kepentingan penggunaan tali pinggang keledar belakang. Media massa merupakan wahana yang paling sesuai untuk melakukan langkah ini kerana media massa adalah medium yang sentiasa dekat dengan rakyat Malaysia. Media massa seharusnya menggunakan saluran terkini untuk menyebarkan mesej tersebut. Misalnya, pihak media cetak tidak patut meletakkan had pengiklanan mereka dalam surat khabar semata-mata, tetapi harus bersikap proaktif dan menggunakan laman sosial seperti Facebook untuk menyebarkan mesej mereka. Langkah seperti ini ternyata berkesan di Singapura apabila media massa yang bergiat aktif menyebarkan mesej penggunaan tali pinggang keledar belakang melalui laman sosial sehingga dapat memastikan jumlah kemalangan jalan raya di negara mereka sentiasa rendah. Maka, sekiranya media massa mencontohi langkah bijak tersebut, sudah tentu tahap kesedaran rakyat Malaysia terhadap kepentingan pemakaian tali pinggang keledar belakang meningkat.

Di samping itu, pihak berkuasa pula perlulah menguatkuasakan pelaksanaan undang-undang. Sepatutnya, undang-undang negara tidak bersifat seperti melukut di tepi gantang tetapi mestilah dikuatkuasakan secara menyeluruh. Pihak polis harus melakukan pemantauan dan pemeriksaan kerap di kawasan-kawasan yang sering menjadi tempat berlakunya kemalangan jalan raya. Bukan itu sahaja, malah pihak polis patut mengenakan tindakan tegas terhadap penumpang kenderaan yang tidak memakai tali pinggang keledar dengan menyaman mereka. Pelaksanaan langkah ini akan menjadi lebih berkesan jika pihak polis tidak menerima rasuah. Sekiranya usaha ini dilakukan dengan serius, pasti penggunaan tali pinggang keledar belakang meningkat dalam kalangan rakyat Malaysia.

Seterusnya, pihak kerajaan juga perlu tampil dan menyediakan bantuan atau insentif dalam pemasangan tali pinggang keledar belakang. Hal ini demikian kerana kebanyakan kenderaan, terutamanya kenderaan yang dikeluarkan sebelum undang-undang yang mewajibkan penggunaan tali pinggang keledar belakang diperkenalkan tidak dipasang dengan tali pinggang keledar untuk penumpang di bahagian belakang. Situasi ini menjadi serius apabila terdapat pihak tertentu yang sengaja menaikkan harga untuk perkhidmatan memasang tali pinggang keledar tersebut. Oleh itu, pihak kerajaan patut memberikan bantuan supaya pengguna jalan raya tidak terbeban dengan langkah mewajibkan pemakaian tali pinggang keledar belakang. Bantuan kerajaan tidak merangkumi insentif kewangan semata-mata. Mereka juga perlu membantu dalam mengawal harga pemasangan tali pinggang keledar. Pendek kata, bantuan kerajaan amat mustahak jika ingin menggalakkan pengguna memakai tali pinggang keledar belakang.

Tuntasnya, pelbagai pihak, terutamanya pihak kerajaan dan media massa mestilah berganding bahu dan melaksanakan usaha-usaha demi menggalakkan penggunaan tali pinggang keledar belakang dalam kalangan pengguna jalan raya di Malaysia. Namun begitu, pada masa yang sama, pengguna jalan raya sendiri harus mempunyai kesedaran untuk memakai tali pinggang keledar kerana segala langkah yang dilaksanakan hanya akan menjadi seperti mencurah air ke daun keladi jika pengguna tidak mahu menerima pelaksanaan langkah tersebut. Sekiranya langkah pemakaian tali pinggang keledar disokong oleh seluruh rakyat Malaysia, pasti jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia dapat dikurangkan.

Tatabahasa: Ayat Pasif...mengelirukan!!!

Pernah saya mengeluh, 'Susah betul hendak bina ayat pasif. Mengelirukan!!!'. Namun begitu, dengan bimbingan seorang guru Bahasa Malaysia yang cemerlang, akhirnya saya berjaya memahami cara pembinaan ayat pasif yang tepat.

Dahulu, beginilah cara saya membina ayat pasif:

Saya makan ikan goreng itu. => Ikan goreng itu telah dimakan oleh saya.
Kamu perlu menonton rancangan televisyen itu. => Rancangan televisyen itu perlu ditonton oleh kamu.
Mereka menangkap pencuri yang cuba melarikan diri itu. => Pencuri yang cuba melarikan diri itu ditangkap oleh mereka. 

Jadi, betulkah cara membina ayat-ayat pasif di atas? Tidak. Dua daripada tiga contoh yang telah saya kemukakan tadi salah dari segi tatabahasa. Sebenarnya, untuk kata ganti diri pertama dan kata ganti diri kedua, anda perlu menyatakan kata nama terlebih dahulu sebelum menyatakan kata kerja. Anda tidak perlu menggunakan perkataan 'oleh' untuk kata ganti diri pertama dan kata ganti diri kedua. Perkataan 'oleh' hanya digunakan untuk kata ganti diri ketiga.

Contoh:

Saya makan ikan goreng itu. => Ikan goreng itu saya makan. (Saya = kata ganti diri pertama)
Kamu perlu menonton rancangan televisyen itu. => Rancangan televisyen itu perlu kamu tonton. 
(Kamu = kata ganti diri kedua)
Mereka menangkap pencuri yang cuba melarikan diri itu. => Pencuri yang cuba melarikan diri itu ditangkap oleh mereka. (Mereka = kata ganti diri ketiga)

Contoh lain:

Kami menebang pokok yang besar itu. 
=> Kami: kata ganti diri pertama
Ayat pasif: Pokok yang besar itu kami tebang.

Encik Ali minum air kopi yang panas itu.
=> Encik Ali: kata ganti diri ketiga
Ayat pasif: Air kopi yang panas itu diminum oleh Encik Ali.

Anda bakal memenangi wang tunai RM 50, 000.
=> Anda: kata ganti diri kedua
Ayat pasif: Wang tunai RM 50, 000 bakal anda menangi.

*Struktur ayat yang betul sering diperhatikan oleh pemeriksa kertas peperiksaan Bahasa Malaysia PMR dan SPM. Oleh itu, calon PMR dan SPM haruslah mahir membina ayat yang tidak mempunyai kesalahan tatabahasa.

Selamat mencuba!

Statistik..."Penambah Perisa"

Saya pasti setiap pembaca blog ini pernah makan keropok yang mempunyai penambah perisa... pasti sedap. Begitu juga dengan karangan yang ingin kita bina. Setiap pendahuluan, isi atau penutup akan menjadi lebih konkrit dan mantap jika anda 'menambah perisanya'. Persoalannya, bagaimana?

Sebelum saya teruskan, ingin saya tekankan bahawa nama organisasi atau pihak yang saya gunakan dalam blog ini bukanlah untuk kepentingan peribadi. Saya berharap tidak ada sesiapa yang akan tersinggung dengan taktik mengarang saya.

Baiklah, cuba anda bandingkan ayat-ayat di bawah:

" Jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia semakin meningkat dari setahun ke setahun."
atau
"Menurut statisitik yang telah dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), jumlah kemalangan jalan raya di Malaysia pada tahun 2011 meningkat 30.4% berbanding dengan tahun 2012."

Ayat manakah yang kelihatan lebih meyakinkan? Saya pilih ayat yang kedua. Hal ini demikian kerana ayat tersebut mempunyai satu sumber yang konkrit, ditambah dengan peratus dan perbandingan tahun. Mungkin ada yang berkata penipuan tidak wajar dilakukan semasa menghasilkan karangan. Namun begitu, saya tidak pernah menipu. Kemalangan jalan raya di Malaysia sememangnya meningkat pada setiap tahun dan statistik ini dikeluarkan oleh pihak PDRM pada setiap tahun. Cuma, saya mereka statistik supaya nampak meyakinkan.

Contoh sumber lain yang boleh anda gunakan:

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat=> Isu berkaitan remaja,keluarga dan masyarakat

Institut Sosial Malaysia=> Isu berkaitan masalah sosial masyarakat

Polis DiRaja Malaysia=> Isu berkaitan jenayah tempatan

Jabatan Kastam DiRaja Malaysia=> Isu berkaitan jenayah merentasi sempadan


Selamat mencuba!